Home Berita PAS Sabah

Cadangan bantuan wang ihsan akan dibawa ke pusat

343
SHARE

 

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Bantuan wang ihsan untuk mangsa kebakaran akan dicadangkan ke peringkat pusat bagi membantu mereka yang terlibat memulakan hidup baharu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusof berkata sebelum ini mangsa banjir yang mengalami kemusnahan tempat tinggal telah diberikan bantuan tersebut.

“Kalau kita lihat mangsa kebakaran turut mengalami nasib yang serupa kerana mereka juga kehilangan tempat tinggal dan harta benda secara keseluruhannya.

“Justeru, saya akan bawa cadangan tersebut ke peringkat pusat untuk dibincangkan supaya mangsa kebakaran juga diberikan wang ihsan daripada kerajaan,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata demikian semasa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Lorong Sungai Buaya, Batu 2, Tawau Lama, di sini semalam.

Sementara itu, katanya, kementeriannya juga sudah menyediakan bantuan khas iaitu ‘Tabung Bencana’ bagi membantu rakyat di negara ini sekiranya ditimpa musibah termasuklah kebakaran.

“Kerajaan juga akan melihat keperluan-keperluan lain yang diperlukan oleh mangsa kebakaran di sini supaya mereka tidak terlalu terbeban dengan masalah yang ditanggung.

“Selain itu, kita turut berkolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri, Yayasan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memastikan semua mangsa musibah mendapat perhatian,” katanya.

Zailah berharap dengan sumbangan kit makanan dan wang tunai yang disampaikan itu dapat meringankan beban yang ditanggung oleh semua mangsa.

“Saya difahamkan juga, wakil rakyat, ahli perniagaan dan NGO di daerah ini tidak putus-putus menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di sini.

“Saya berharap semua mangsa tabah menghadapi dugaan yang diberikan itu dan berdoa agar mereka mendapat kehidupan lebih baik selepas ini,” katanya.

LAWAT: Zailah semasa melawat mangsa kebakaran di Pusat Penempatan Sementara di sini.