Home Berita PAS Terengganu

KHIDMAT tidak duduk diam

75
SHARE

DUNGUN – Setelah banjir besar melanda beberapa negeri dalam negara menyebabkan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Dungun tidak duduk diam.

Ahli Jawatankuasa PAS Dungun, Cikgu Alias Harun memuji Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sentiasa turun padang setiap kali rakyat berdepan dengan musibah.

“Baru balik membersih rumah di Mentakab, Pahang yang mengalami banjir lumpur dengan hampir keseluruhan tempat ditenggelami air bah,

“bayangkan penat rasanya belum hilang lagi, tetapi tetap menyahut panggilan Misi Pasca Banjir ke Bukit Besi pula,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum itu beliau telah membuat perlepasan sukarelawan KHIDMAT Malaysia Dungun untuk Misi Pasca Banjir ke Pasir Raja pada 5 Januari lalu.

Menurutnya, KHIDMAT Malaysia yang terdiri daripada Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun, Pemuda, Muslimat dan Ameerah yang sentiasa turun padang setiap kali rakyat berdepan dengan musibah.

Sementara itu, Ketua Operasi misi tersebut, Utbah Hassan berkata mereka membersihkan Dewan Orang Ramai, Dataran Kejat, Rumah Masak dan Masjid Pasir Raja serta dua buah rumah orang awam.

“Kita turun dengan tenaga Jabatan Amal Malaysia(JAM) Dungun, Ameerah dan Muslimat seramai 80 orang petugas.

“Keadaan di tempat berkenaan diselaputi selut dan lumpur setebal tiga hingga lima inci, Alhamdulillah, dengan tenaga yang ramai kerja-kerja menjadi lebih mudah dan cepat,” katanya.