Oleh:Jaudin M Amin
27 Disember 2021
BUKIT GANTANG : Seramai 28 anggota Jabatan Amal, Khidmat Malaysia dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Gantang menyertai misi bantuan pasca banjir di daerah Kuala Langat hujung minggu lalu.
Menurut Ketua Operasi Misi Bantuan PAS Kawasan Bukit Gantang, Zulkefly Ahmed, “Beberapa permis berjaya dibersihkan antaranya Surau Al-Muiz’z Taman Seri Muda, Sekolah Rendah Islam Integrasi At-Taqwa dan PASTI At-Taqwa Kampung Bukit Changgang.
“Kami turut membersihkan sebuah kedai dan beberapa buah rumah sekitar Kampung Bukit Changgang, Kampung Beting Tengah, Kampung Sijangkang dan Taman Seri Muda.
Daripada hasil sumbangan kewangan ahli-ahli PAS Kawasan Bukit Gantang, sebanyak 60 pek makanan telah diserahkan kepada urusetia Pusat Operasi Banjir Surau Al Firdaus, Kota Kemuning.
“Kami turut menyalurkan sumbangan kepada dua buah institusi pendidikan iaitu PASTI At-Taqwa dan Sekolah Rendah Islam At-Taqwa Bukit Changgang bagi meringankan sedikit bebanan yang ditanggung akibat kerosakan yang berlaku di sekolah tersebut.
Zulkefly yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan mengucapkan ribuan terima kasih di atas khidmat kesukarelawan anggota-anggota Jabatan Amal, Khidmat Malaysia dan Dewan Muslimat PAS Kawasan sepanjang dua hari yang lalu.
“Ucapan terima kasih juga kepada para dermawan yang membantu menyediakan dana dalam tempoh yang singkat. InsyaAllah, kita merancang untuk meneruskan misi bantuan pasca banjir di negeri Pahang pula pada minggu hadapan.
Kepada yang ingin menyalurkan sumbangan, bolehlah berbuat demikian melalui Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di nombor akaun 08040010013314 dan menulis rujukan ‘Bantuan Banjir’.