Home Berita PAS Perak

PAS Lumut hantar misi bantuan banjir ke Selangor

88
SHARE

Oleh: Hafiz Green Mart

LUMUT: PAS Kawasan Lumut hari ini telah menyahut seruan PAS Pusat dan PAS Perak bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di Selangor, pagi tadi.

Delegasi pertama PAS Lumut ini disertai seramai 6 orang anggota AMAL menaiki dua buah kenderaan pacuan empat roda dipenuhi dengan bantuan berupa air mineral, alatan cucian, keperluan harian bayi dan anak-anak kecil serta kelengkapan solat seperti sajadah dan telekung.

Yang DiPertua PAS Lumut, Rosli Abd Rahman berkata bantuan tersebut akan dihantar ke Kuala Langat mengikut ketetapan agihan lokasi bertugas yang diketuai oleh Pengerusi Khidmat Malaysia PAS Lumut, Abdul Basir Mohamed.

“Misi kita hari ini ialah membersihkan beberapa buah rumah yang telah dikenalpasti akibat banjir setelah air mulai surut,” ujarnya sebelum melepaskan delegasi di hadapan Pejabat PAS Lumut.

Dalam pada itu, beliau turut menitipkan taujihat sebagai pemangkin semangat para petugas di samping mendoakan kesejahteraan dan kelancaran gerak kerja membantu mangsa banjir di sana.

“Perbaharui, perbetulkan (dan) ikhlaskan niat kita pergi (hanya) kerana Allah. Ambil iktibar atas kejadian yang telah Allah tentukan, bekerjalah, bantulah mangsa banjir (dengan) sepenuh hati,” pesannya lagi.

Hadir sama, Timbalan Yang DiPertua PAS, Mohammad Che Ghani, Setiausaha dan Penolong Setiausaha, Hamidun Ahmad dan Alwi Abu Bakar serta Ketua Muslimat PAS, Rohawati Abidin.