Home Berita PAS Terengganu

YPU bakal pendekkan urusan permohonan usahawan

172
SHARE

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu tekad dalam mencapai standard ISO9000 bagi memendekkan urusan birokrasi supaya lebih efisyen dalam memudahkan golongan usahawan negeri memanfaatkan pelbagai bentuk bantuan perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sebelum ini susun atur pendaftaran sehingga perolehan dana usahawan mengambil masa sedikit lama.

“Sehubungan dengan itu, YPU akan menambahbaikkan perkhidmatannya dengan menyingkirkan mana-mana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak diperlukan.

“Apa pentingnya ISO ini, ia adalah satu siri standard yang wujud untuk pengurusan kualiti dan berterusan yang berterusan, saya letakkan sekarang paling lama bagi mendapat keputusan ialah dua bulan (sebelum lima bulan) untuk menentukan insentif usahawan itu berjaya atau tidak.

“Garis panduan ini akan disegerakan dan sasaran pelaksanaan pada tahun hadapan, YPU akan ada ISO9000 tersendiri bersama pihak konsultan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Pembentangan Program & Aktiviti Tahun 2022 Di Bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna di Hotel Seri Pacific, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi YPU, Zulkifli Yunus menjelaskan, perancangan dan peruntukkan diberi kerajaan negeri menerusi pihaknya sejak tempoh 2019 adalah memuaskan dan sangat tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Oleh itu, dengan pelaksanaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) berjumlah RM10 juta bersama Program Pembiayaan Mikro Bangkit (BangKIT), ISO ini dapat memberi standard dan integriti pada tahap tinggi buat pegawai dan mutu perkhidmatan kami.

“Sejajar dengan Jubli Perak YPU 25 tahun, SOP yang bakal julung kali diadaptasikan dalam kerja kami bakal membuka ruang lebih luas dengan sasaran 1000 usahawan mendapat suntingan kewangan dengan pelbagai skim pembiayaan ditawarkan,” katanya lagi.