Nasi Goreng Kampung adalah menu biasa masyarakat Melayu bahkan ia boleh dikatakan menjadi makanan kegemaran ramai orang kerana rasanya yang sedap serta boleh dipelbagaikan cara masakannya mengikut selera masing-masing.
Justeru, tidak hairanlah acara ini mendapat penyertaan penuh iaitu seramai 12 orang peserta dan ianya juga disertai oleh peserta lelaki seramai 3 orang antaranya ialah Ustaz Fauzan Naim Mohd Saibani, Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Sungai Besar dan AJK PAS Kawasan Sungai Besar, Khairi Ma’nor.
Peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan dan bahan masakan disediakan oleh pihak penganjur seperti nasi, bawang, telur, sayur kangkong dan lain-lain. Masa memasak diberi selama 10 minit. Markah penjurian adalah berdasarkan rasa, kreativiti dan kebersihan.
Pertandingan ini telah dihakimi oleh Rosnah Ramli dan Rohaya wakil Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Salimah Salleh telah berjaya mendapat tempat pertama, Masitah Mohd Yasin tempat kedua dan Rosmawati Amin tempat ketiga. Manakala Nor Siah Abd Kader dan Halimah Khir membawa pulang hadiah saguhati.
Kemuncak acara ini ialah apabila tetamu VIP yang hadir pada hari tersebut turut serta ‘menyingsing lengan’ menunjukkan bakat masing-masing menyediakan menu ini.
Antara yang mengambil bahagian, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Muslimin Yahaya, Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Besar, Ustaz Fadzlin Taslimin dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Besar, Ustaz Mohd Nazri Sarbini.