Oleh UMMU AL-FATEH
KEPALA BATAS, 30 OKTOBER – Umat Islam yang telah berusaha melengkapkan diri dengan keilmuan hendaklah meneruskan perjuangan nabi-nabi yang bukan sahaja mengajar tetapi turut berdakwah melibatkan diri dalam politik.
Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa dengan ilmu, ulamak mestilah menjadi pemimpin umat ke jalan yang benar dengan mengambil petunjuk Allah dan sabar menghadapi rintangan perjuangan.
“Yang menjadi pemimpin politik Bani Israel adalah nabi-nabi, apabila Allah matikan nabi, digantikan dengan nabi yang lain yang menjadi pemimpin. Namun sebaliknya pula berlaku selepas kewafatan baginda Rasulullah S.A.W. maka tiada lagi nabi baru sesudahnya.”
“Walau bagaimanapun harus diingat, tindakan Rasulullah S.A.W. meminta para sahabat membaiahkan pengganti-pengganti baginda yang terdiri daripada para khalifah menunjukkan tidak ada tembok pemisah antara ulamak dengan perjuangan politik,’’ jelasnya.
Selain itu beliau turut meminta ulamak mengkaji seterusnya menghadapi permasalahan baru yang tidak terkandung dalam kitab-kitab kuning seperti persoalan nasionalisme, sosialisme, komunisme dan lain-lain.
Beliau mengingatkan semua ilmuan untuk melakukan islah dan tajdid supaya ulamak dapat membaharui kefahaman mereka terhadap Islam namun bukan membaharukan agama kerana agama tidak boleh dibaharukan.
Selanjutnya beliau turut menyentuh masih terdapat segelintir ulamak yang tidak memahami rencah pergolakan politik dan tertinggal daripada arus gerakan semasa apabila mereka hanya mentafsirkan kefahaman agama hanya mengikut kitab yang dibaca.
Abdul Hadi ketika berucap merasmikan Daurah AKIFI DUPP pada 28 Oktober lalu di ibu negara, telah menjelaskan tujuan penubuhan Daurah ini adalah untuk melengkapkan ulamak haraki, ulamak yang terlibat dalam gerakan Islam yang benar-benar menjadi warasatul anbiyak.
Daurah AKIFI (ringkasan dari alim, haraki,sufi) hingga kini merangkumi 12 jabatan antaranya jabatan akidah, tafsir, fekah, dakwah, undang-undang, kewangan, politik antarabangsa dan lain-lain dengan jumlah 571 peserta terdiri daripada kepimpinan PAS dari semua peringkat.
Program di bawah Akademi Latihan Kepimpinan Ulamak (ALKU) DUPP ini dibimbing oleh 30 orang nuqaba’ terpilih dari pimpinan PAS di kalangan tuan-tuan guru pondok, professor, para ulamak yang istiqamah dengan PAS.