Dari Tirai Dewan Muslimat PAS Selangor | Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor
Oleh : Lajnah Penerangan
Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Langat
Terima kasih dan syabas diucapkan atas tindakan kerajaan yang mengambil serius berkaitan isu arak Timah yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Islam kerana ia dilihat seolah-olah suatu tindakan biadab dan tidak menjaga sensitiviti umat Islam di Malaysia.
Langkah proaktif yang diambil oleh pihak kerajaan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Ustaz Hj Idris b Ahmad yang sedang menjalankan siasatan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) diharap dapat menyelesaikan isu ini.
Tindakan ini dianggap sinis oleh beberapa pihak yang menganggap tindakan kerajaan meneliti “ aduan mengarut” ini tidak akan membantu perniagaan. Menurut Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Cheah tiada keperluan untuk kerajaan campur tangan dalam cara peniaga menguruskan perniagaan, kecuali terbukti mereka mempunyai niat untuk menipu.
Menyelar pernyataan ini, kami menganggap jenama arak Timah yang digunakan telah menggangu gugat sensitiviti umat Islam yang amat biasa sekali dengan penggunaan nama ‘Timah’ dalam masyarakat. Selain itu, perbuatan tersebut juga menimbulkan persepsi seolah-olah ada agenda tersembunyi seperti ingin menormalisasi budaya arak dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim.
Jenama arat TIMAH ini telah didaftarkan atau dipatenkan mengikut Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 6 OGOS 2019 iaitu didaftar mengikut Akta Perbadanan Harta Inetelek Malaysia 2002. Ia adalah sebuah badan berkanun dibawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Untuk makluman, 3 MAC 2020 arak jenama TIMAH sudah pun dikeluarkan berdasar apa yang disiar pihak 𝗪𝗶𝗻𝗲𝗽𝗮𝗸 𝗖𝗼𝗿𝗽𝗼𝗿𝗮𝘁𝗶𝗼𝗻 (𝗠) 𝗦𝗱𝗻 𝗕𝗵𝗱 di Facebook. Kemudian, pada 7 Oktober lalu telah dilancarkan secara rasmi. Arak tersebut mengguna pakai jenama ‘Timah’ dan berlatar belakangkan gambar seorang lelaki yang berjanggut serta memakai penutup kepala persis seorang Muslim.
Bagaimanapun, Winepak Corporation menerusi kenyataan pada 15 Oktober lalu menafikan segala dakwaan dan menjelaskan bahawa nama ‘Timah’ yang terdapat pada label botol merujuk kepada bijih timah pada era perlombongan bijih timah semasa pemerintahan British di Malaya suatu masa dahulu. Menurut mereka lagi, gambar lelaki itu pula adalah salah seorang individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British iaitu Kapten Speedy.
DMPKL amat bersetuju dan menyokong kepada usaha-usaha untuk memerangi arak di Malaysia sama ada mengawal dan menghadkan penjualan sehinggalah kepada penutupan kilang mengeluarkan arak.
Kita memerangi arak kerana Islam telah mengharamkan atas faktor mendatangkan mudarat yang lebih besar berbanding manfaat. Bahaya arak ini dilihat sama seperti bahaya dadah dalam masyarakat. Fungsi akal menjadi rosak malah hilang pertimbangan dalam sesuatu tindakan. Kes kematian juga semakin tinggi berpunca daripada pengaruh alkohol dan dadah.
Jelas kita menentangnya bukan hanya kerana ia ditegah dalam agama Islam, bahkan dalam banyak agama lain juga. Penentangan terhadap arak ialah suatu isu kemanusiaan yang kepentingannya meliputi ramai manusia. Bantahan ini harus diperjuangkan demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia yang kita cinta.
28 Oktober 2021 | 21 Rabiul Awal 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor