Home Berita PAS Perak

Berpeluh hingga jam 3 pagi hadapi banjir sekitar Bukit Gantang

91
SHARE

Oleh: Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG – Berikutan hujan lebat sejak petang semalam, beberapa buah kampung dekat sini ditenggelami banjir sehingga awal pagi ini.

Hasil tinjauan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), kira-kira 200 buah rumah terlibat namun jumlah kerugian tidak dapat dipastikan.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman berkata, Jabatan Amal telah digerakkan sejak lewat petang semalam bagi meninjau dan membantu penduduk berhadapan dengan bencana ini.

Antara kampung yang dilanda banjir adalah Kampung Paya, Kampung Tengah, Kampung Menteri, Matang Gelugor, Simpang Temelok, Kuala Trong, Sungai Bemban, Jelapang, Sungai Petai dan Sendok Seberang.

Selain itu, Jabatan Amal turut terlibat membersihkan pokok-pokok yang tumbang akibat ribut petir disamping membantu pihak Bomba dan Penyelamat mengawal lalulintas sewaktu kerja-kerja pembersihan dilakukan.

“Beberapa keluarga telah ditempatkan di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Sungai Bemban berikutan kenaikan paras air malam semalam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jabatan Amal Bukit Gantang meneruskan khidmat masyarakat membersihkan beberapa buah rumah yang ditenggelami banjir.

Komandan Jabatan Amal Kawasan, Ridzuan Basheer berkata, gerak kerja bermula sejak jam 10 pagi dan berakhir kira-kira jam 2.15 pagi dengan kekuatan 10 anggota.

“Dalam perjalanan pulang, sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan kami menyambung tugas membersihkan pokok tersebut yang berakhir pada jam 3 pagi.

“Pusat Khidmat PAS Parlimen Bukit Gantang bersama Jabatan Amal akan meneruskan kerja-kerja pembersihan rumah hari ini disamping mengedarkan hamper makanan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat”, katanya.