Oleh: Danisya Ismail
TAMBUN: Musibah yang menimpa kediaman keluarga Norisah Ahmad, 60, yang terlibat dalam sebuah kebakaran berpunca daripada litar pintas di Kg Sg Tapah baru-baru ini mendapat perhatian Ameerah Dun Manjoi.
Ketua Ameerah Dun Manjoi, Aisyah Husna Ameer ketika ditemui berkata pihaknya akan sentiasa berusaha terus mengambil cakna kebajikan masyarakat setempat khususnya yang memerlukan bantuan kebajikan.
“Ketika mendapat perkhabaran tentang musibah ini, pihak kami (Ameerah Dun Manjoi) terus berbincang untuk menghulurkan bantuan awal buat mereka yang diuji dengan musibah kebarakan ini.
“Alhamdulillah, sedikit keperluan dalam bentuk makanan asas serta keperluan wanita dan anak kecil telah kami sampaikan semasa menziarahi Puan Norisah,” ujarnya.
Dalam pertemuan itu, Norisah menzahirkan rasa syukur atas perhatian yang diberikan Ameerah Dun Manjoi atas sekeluarga sekali gus menyatakan bahawa beliau redha dengan musibah diterima.
“Makcik cuba pujuk hati. Waktu zaman pandemik (ni), orang lain diuji dengan kehilangan ahli keluarga (tapi) makcik (hanya) diuji dengan kehilangan harta (rumah),” ujarnya.
Kongsinya ketika kejadian berlaku, beliau yang tinggal bersama sembilan ahli keluarga yang lain terdiri daripada anak, menantu dan cucu sempat bertindak pantas menyelamatkan diri.
Walaubagaimanapun, barang-barang keperluan harian seperti pakaian dan makanan tidak boleh diselamatkan dan hampir keseluruh bahagian dinding rumah berubah menjadi hitam kesan dari kebakaran.
Hadir sama dalam sesi ziarah itu, Ketua Muslimat PAS Cawangan Sg Tapah, Suriaani Zamri.