Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Usul dicadang,
Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Gombak
Usul disokong,
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gombak
Latar belakang usul
1. Kami di Dewan Pemuda PAS Gombak menyedari bahawa suatu tugas besar terpikul di pundak kita menjelang gendang perang Pilihanraya Umum(PRU) ke-15 berbunyi.
Mutakhir ini kerajaan melalui SPR telah mengumumkan pengisytiharaan undi 18 tahun secara automatik akan menyaksikan angka 5.8 juta pengundi baharu pada sesi pilihanraya akan datang.
Keberadaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) didalam rencah pertandingan pesta pora pilihanraya adalah yang paling berpengalaman dan menikmati sepak terajang sepanjang proses PRU berlangsung sejak 1955 lagi.
2. Kami berpandangan sama ada suka atau tidak, sama ada kita bersedia atau tidak, dimensi cara berkempen telah berubah 180 darjah berbanding cara lama kita berkempen. Pasca pandemik COVID-19 telah membuka suatu kesenjangan ekonomi secara besar besaran yang membuat nasib ratusan bahkan jutaan pekerja diambang kemurungan.
3. Anak muda yang bergraduan, yang tidak punya kelulusan tinggi, bahkan anak muda tiada pelajaran semuanya telah terkesan dari “chain effect” hasil pergolakkan sistem ekonomi konvensional sehingga ramai diberhenti kerja, syarikat gulung tikar bahkan berapa banyak gerai dan restoren mamak jugak tutup dek kerana kesan COVID-19 yang berlarutan.
Cabaran pendekatan undi 18 tahun: Suatu jurang yang wajib didekatkan
4. Oleh yang demikian, aspirasi dan suara hati orang muda wajib didengari dan dihayati. Kali ini orang muda mahu isu dan permasalahan orang muda diselesaikan dengan efektif dan sampai kebawah dengan pantas.
Orang muda bukan sekadar memasang telinga mendengar pengumuman muluk projek mega jutaan ringgit milik Megah Holding di sketsa drama jam 7petang diulang tayang kelak oleh parti parti politik bertanding PRU-15 kelak.
5. Kami di Dewan Pemuda PAS Gombak dengan penuh rasa kesedaran yang tinggi amat memahami bahawa orang muda mahu proses demokrasi di Malaysia dimulakan dengan memberi nafas baharu pada pemain politikus itu sendiri. Wajah anak muda yang polos, kumis yang kemas dirapi bahkan gaya bercakap tidak Mat Skema, rambut hitam pekat menyala dan tubuh badan yang tegap dan utuh dapat menarik kembali minat anak muda untuk sama sama partisipasi proses demokrasi yang subur di Malaysia.
Ya kaya pengalaman juga suatu sisi penting sebagai pemimpin yang melengkapkan sebuah kebijasanaan memimpin. Tidak lah kita menafikannya.
Akan tetapi faktor penarik yang besar seperti tenaga muda yang segar , “beauty with brain”, dan faktor keletihan dan kejemuan orang muda melihat permainan politik yang tidak berkesudahan hanya memburukkan lagi suasana mood pengundian orang muda.
PAS dan kaderisasi anak muda
7. Hakikat realitinya, orang muda mahukan orang muda juga. Muda bukan sekadar umurnya muda, bahkan ketrampilan yang matang, baik budi pekerti, tinggi keilmuannya, fasih lidah berbasa basi tanpa ego menggunung, bijak mengatur langkah dan jujur membantu dibawah.
8. Dewan Pemuda PAS Gombak ingin menegaskan bahawa calon muda ini bukan sahaja dari ruang linkup Dewan Pemuda sahaja, bahkan ia sewajarnya lebih luas ke dewan dewan yang lain juga termasuk Dewan Muslimat dan Dewan Ulama.
9. Paling mendesak ialah idea idea baharu yang membawa kepada penyelesaian secara tuntas masalah anak muda dapat diberi perhatian sepenuhnya.
Sementelahan itu, prinsip perjuangan Islam PAS tidak dikesampingkan dan terus berusaha menjayakan setiap agenda parti ke pentas politik nasional.
10. Demi Agama, Bangsa dan Tanah Air tercinta, Dewan Pemuda PAS Gombak mengusulkan dihadapan seluruh perwakilan yang hadir di medan yang terbaik dan penuh bersejarah ini, bahawa dengan penuh rasa rendah hati agar calon muda sebanyak 50% daripada PAS diketengahkan pada PRU ke-15 ini kelak.
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor