KUALA TERENGGANU – Walaupun terpaksa berdepan cabaran pandemik Covid-19, Terengganu mencatat peningkatan zakat sebanyak 15 peratus pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AMCARE Agency, Datuk Mohamad Zahari Harun berkata, jika dibandingkan dengan tahun lepas, ada pertambahan dalam kutipan zakat.
“Kita ingat kutipan zakat ketika pandemik ini akan berkurangan, tetapi alhamdulillah pada tahun lepas kita mencatat kutipan sebanyak RM167 juta.
“Dan tahun ini kita mencatat anggaran kutipan berjumlah sebanyak RM185 juta, manakala untuk tahun hadapan iaitu 2022, kita anggarkan kutipan akan mencapai sebanyak RM205 juta,” katanya.
Menurutnya lagi, antara salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat ketika waktu pandemik adalah kesedaran syarikat-syarikat korporat yang membuat bayaran di negeri Terengganu.
“Di negeri Terengganu, mereka dapati zakat pendapatan lebih tinggi daripada zakat perniagaan mungkin kerana dalam aspek perniagaan terdapat penurunan dari segi ekonomi dan suasana pandemik.
“Kita mempunyai tujuh saluran seperti kaunter, atas talian, aplikasi banking, sistem dan kaedah lain lagi yang sentiasa dibuat penambahbaikan, serta kita dapati ketika pandemik ini, boleh dikatakan ramai yang menggunakan kaedah online secara lebih ketara.
“Ini mungkin disebabkan pandemik, orang ramai semakin mahir menggunakan kaedah online sebagai alternatif dan mungkin mereka juga sudah menerima dan yakin bahawa pembayaran secara atas talian kini sudah jelas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena Program Seminar Taksiran Zakat Harta Anjuran AMCARE Agency di Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu, Isnin lalu.
Seminar itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIDAM, M. Rozi Bidin, dan diadakan dua hari bermula 17 Oktober melibatkan 70 orang pemimpin kerajaan, pemilik perniagaan, peniaga, kakitangan jabatan dan agensi kerajaan dari seluruh negeri Terengganu.
Beliau yang juga Ahli Majlis Maidam berkata, dalam dunia yang bergelut dengan pandemik Covid-19, pelbagai inovasi dalam kewangan sosial Islam mesti diadaptasi dan diterapkan sesuai dengan keadaan semasa.
“Amcare Agency merupakan Ejen Sah Kutipan Zakat Maidam yang telah diamanahkan untuk menjalankan pengurusan kutipan zakat secara profesional, efektif dan bersistematik serta berkesan sesuai dengan objektif untuk membantu Maidam.
“Selain berkongsi cara kiraan zakat perniagaan, pendapatan, koperasi, pertanian, ternakan emas, simpanan serta zakat pelaburan, seminar ini juga turut berkongsi hikmah bagaimana berzakat dapat memberi keberkatan sekali gus melindungi harta mereka,” tambahnya lagi.