Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Hulu Langat
Oleh : Muhammad Jan Sulong
YDP PAS Kawasan Hulu Langat
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
اللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
1. Cinta Rasulullah ﷺ akan membawa cinta kepada Allah SWT kerana ianya berkait rapat antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan, apa sahaja yang berkaitan dengan Rasulullah ﷺ baik dari sudut akhlak, peribadi malah kelahiran Rasulullah ﷺ itu sendiri adalah rahmat kepada sekalian alam, sebagaimana Allah sebut di dalam Al Quran;
وَمَآ اَرْسَلْنٰكَ اِلَّا رَحْمَةً لِّلْعٰلَمِيْنَ
Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam (Al-Anbiya’, 107)
2. Dihari yang baik dan mulia ini, marilah sama-sama kita menyelusuri dan menghyati sirah perjuangan Rasulullah ﷺ, bagaimana Baginda berjaya mengembangkan dakwah Islamiyyah sehingga terbentuknya sebuah negara Islam melalui pendekatan wasatiyyah, iaitu pelaksanaan Islam secara berhikmah dan seimbang bagi memastikan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak manusia.
3. Rasulullah ﷺ adalah contoh tauldan dan ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia, sungguhpun agama Islam dijunjung dan dimartabatkan namun sikap toleransi yang tinggi Baginda maka penganut agama lain tidak dipinggirkan malah dibenarkan mereka untuk terus mengamalkan ajaran mereka tanpa halangan dan paksaan.
4. Hari ini ramai tokoh-tokoh masyarakat yang tampil sehingga membuat ramai yang kagum, namun perlu kita sedar bahawa Baginda Rasulullah ﷺ adalah jauh lebih hebat, sehingga mampu membawa perubahan terhadap perkembangan sosial masyarakat dunia, mewujudkan pemerintahan Islam dan keteladanan akhlak Baginda yang tinggi dan terpuji sehingga menjadi contoh dan diikuti oleh masyarakat seluruh dunia.
5. Sempena Maulidur Rasul 1443H ini, saya mewakili seluruh ahli dan pimpinan PAS Kawasan Hulu Langat mengajak semua masyarakat terutama umat Islam bersama merapatkan ukhwah persaudaraan agar kita mampu menguatkan kesatuan fikrah dan amal kita demi membina kembali negara dan perjuangan agama Islam yang syumul ini.
“Sesungguhnya, kelahiran Rasulullah ﷺ membawa rahmat seluruh alam”
19 Oktober 2021 | 12 Rabiul Awal 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor