Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Us Syeikh Muhd Mujahid
Pengarah Akademi Tarbiah (AKTAR)
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (31) قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (32)
Bersempena kehadiran tarikh 12 Rabi’ul Awwal ini, AKTAR DPPNS mengajak seluruh umat Islam khususnya anak muda perjuangan untuk sama-sama kita menghayati nilai agung kehidupan dan perjuangan Nabi SAW yang tercermin dalam acuan cinta dan makrifah kepada Allah SWT.
Asas terpenting, ia mesti diterjemahkan dengan makna kesempurnaan iman dalam mencintai Rasulullah SAW.
Hayati dialog antara Rasulullah SAW dan Saiduna Umar RA:
Saiduna Umar RA berkata kepada Nabi SAW: ‘Wahai Rasulallah SAW, adalah tuan lebih dicintai kepadaku Lebih daripada segala perkara kecuali diriku.
Maka Nabi SAW bersabda: ‘Tidak, dan demi jiwaku di di genggamanNya, sehingga aku lebih dicintai kepadamu daripada dirimu sendiri.
Maka, Saiduna Umar ra berkata: ‘Maka sesungguhnya sekarang demi Allah SWT, Tuan lebih dikasihi terhadap saya lebih daripada diri saya sendiri’.
Maka Rasulullah SAW memberi jawapan dengan sabdanya: ‘Sekarang wahai Umar’.
Dalam memaknakan nilai sambutan Maulidul Rasul ini, ia perlu dihayati dalam kerangka penghayatan perjuangan Rasulullah SAW.
Perjuangan baginda menempuh perjalanan ke bumi Thaif lebih 90km, yang berbalas dengan usiran, hinaan dan balingan batu-batu sehingga menumpahkan darah baginda yang mulia, berhadapan penentangan lebih 18 kaum baginda di Makkah, pemulauan bertahun-tahun, diusir daripada bumi yang sangat dicintai, serta deretan ujian dan cabaran hinggalah kepada ancaman bunuh.
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah cerminan nilai perjuangan baginda SAW yang benar-benar memaknakan nilai cinta dan makrifah.
Tanyalah kepada diri kita, apakah kita benar-benar sudah memaknakan nilai cinta dan makrifah di saat kita merasa berat untuk berjuang dan berkorban sedangkan pengorbanan Rasulullah SAW sebegitu hebat sekali untuk umat!
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit’ – Surah Al-Taubah ayat 38.
Cukuplah satu ayat Allah SWT menjelaskan kepada kita betapa besarnya kasih Rasulullah SAW kepada umat.
Firman Allah SWT:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
‘Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin’ – Surah al-Taubah ayat 128
Mudahan, kita mampu menjadi umat yang benar-benar dapat menterjemahkan nilai cinta dan makrifah sebagai hamba Allah yang bukan hanya mencintai, tetapi mendapat cinta Allah SWT dan RasulNya.
Benarlah pesanan Ulama’:
‘Duduk perkaranya bukanlah semata-mata bagaimana kamu mencintai, tetapi sebenarnya bagaimana kamu akan dicintai’.
Selamat menyambut Maulidul Rasul 1443H, daripada AKTAR DPPNS.
19 Oktober 2021 | 12 Rabiul Awal 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor