Home Rencana PAS Selangor

Timah – Ketua Pemuda DPPK Gombak

186
SHARE

May be an image of text that says "WINEPAK Since 1982 1982"

Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Oleh : Firdaus Azim
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Gombak

1. Syarikat yang mengeluarkan whiskey ini adalah Winepak yang telah beroperasi sejak tahun 1982. Kilang syarikat ini terletak di Puchong, Selangor.

2. Gambar pada botol TIMAH Whiskey adalah Captain Tristram Charles Sawyer Speedy, seorang pegawai tentera British, dilahirkan di India dan pernah bertugas sebagai Superintenden Polis di Pulau Pinang (1873) dan pembantu Residen British di Larut (1874-1877). Beliau dikatakan telah memperkenalkan whiskey kepada Malaya.

3. Syarikat pengeluar mendakwa nama Timah adalah berdasarkan kepada ‘bijih timah’ bukan nama orang Melayu – Timah atau Fatimah. Nama Timah telah didaftarkan melalui MyIPO (akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia) pada 6 Ogos 2019.

4. Syarikat ini telah memenangi beberapa anugerah pada tahun 2020 dan 2021 di peringkat antarabangsa. Malah, jenama whiskey yang sama telah menyertai International Spirit Challenge pada tahun 2019.

Respons saya:

1. Isu ini menjadi bahan serangan parti-parti politik dengan sebab utama PAS kini menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan, melalui persepsi bahawa whiskey TIMAH ini dikeluarkan dan dipasarkan semasa Kerajaan yang ada sekarang mentadbir. Faktanya adalah sebaliknya.

2. Apa yang perlu dikritik adalah mengapa nama Timah diterima oleh MyIPO. Walaupun syarikat pengeluar memberi penjelasan bahawa ia bukan diambil daripada nama wanita Melayu / Islam, namun bagi saya adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada rakyat Malaysia menjaga sensitiviti masyarakat majmuk. Dalam hal ini, saya berpandangan pihak pengeluar dan pihak MyIPO telah melakukan kesilapan.

3. Isu tentang arak akan sentiasa datang dan pergi. Setiap kali ia datang, ia akan menjadi bahan politik. Kita perlu ambil jalan yang lebih proaktif bagi menyelesaikan masalah yang berlegar isu arak.

4. Keputusan Wilayah Persekutuan untuk memperketat kawalan penjualan arak melalui larangan penjualan di kedai runcit adalah satu permulaan yang baik. Di Kelantan, arak hanya dibenarkan dijual di premis-premis tertentu.

5. Arak dikaitkan dengan isu kematian orang yang tidak berdosa di jalan raya, isu penderaan domestik, isu kebejatan sosial, isu kesihatan dan banyak lagi. Bagi orang Islam, mereka tidak yakin bahawa walaupun undang-undang tidak membenarkan penjualan arak kepada orang Islam, ia tetap berlaku.

6. Semasa isu arak timbul dalam parlimen tahun lalu, saya ambil peluang berbincang dengan rakan-rakan bukan Islam. Antara isu utama berkenaan arak yang berlegar di kalangan bukan Islam adalah kebanjiran arak tiruan yang telah menyebabkan kematian.

7. Masyarakat muslim yang berpegang kuat dengan ajaran Islam bahawa arak membawa kepada keburukan dalam banyak aspek kehidupan perlu ambil jalan yang proaktif berdiskusi dengan komuniti bukan islam tentang isu arak sebagai satu usaha membanteras masalah sosial dalam masyarakat. Bawa fakta dan statistik dalam berbincang dan berhujah.

8. Orang Islam juga perlu berhati-hati dalam menyatakan pandangan terhadap hukum arak dari sisi pandang agama lain. Setakat perbincangan saya dengan masyarakat bukan Islam, dakwaan arak adalah haram dalam semua agama adalah tidak tepat. Kristian contohnya, membenarkan penganutnya meminum wine. Pada masa yang sama, ramai orang bukan Islam yang walaupun secara rasminya mempunyai agama tetapi tidak mengamalkan agama mereka. Jangan sehingga bicara kita seakan memaksa hukum agama kita ke atas orang lain.

9. Islam adalah rahmat kepada seluruh manusia. Adalah menjadi tanggungjawab orang Islam bagi membuktikan bahawa Islam adalah satu sistem kehidupan yang sempurna melalui tindakan yang lebih proaktif demi kesejahteraan manusia. InsyaAllah kita berharap isu kawalan arak dalam negara akan terus ditambah baik dari masa ke masa.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor