MARANG – Pantai Angin Berbisik diisytiharkan sebagai lokasi peranginan keluarga dan produk pelancongan terbaharu berteraskan komuniti yang utama di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata dengan keindahan dan keunikan tersendiri mampu menarik pelancong dari seluruh negara untuk memilih lokasi berkenaan untuk bercuti bersama keluarga terutamanya pada hujung minggu.
“Pihak kerajaan bersama Jabatan Pelancongan akan mempromosikan tempat ini dengan sebaik-baiknya dan dalam jangka masa lima tahun saya yakin ia akan dapat dibangunkan dengan baik dan akan menjadi seumpama Pantai Kekabu yang telah pun diketahui dan telah penuh sesak dengan pengunjung kerana berdekatan dengan Kuala Terengganu.
“Namun di sini ia ada tarikannya yang tersendiri yang kita jangkakan selepas ini akan menerima kunjungan lebih ramai samada pelancong dari negeri ini sendiri ataupun dari luar,
“Dalam pada itu pihak kerajaan bersama Jabatan Pelancongan akan berbincang dan memikirkan dari semasa ke semasa untuk menyediakan inisiatif yang boleh diberikan dalam menjadikan tempat ini popular, ” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Program Perasmian Pantai Angin Berbisik Serta Program Pengindahan Produk Pelancongan Merchang Lestari, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri,Fadhli Yusof Haji Zakaria.
Mengulas lanjut Ariffin berkata, program pengindahan produk pelancongan daerah tersebut adalah kesiapsiagaan negeri dalam pembukaan sektor terbabit secara terkawal dalam menuju Pelan Pemulihan Pelancongan.
“Saya juga yakin, sebagai sebuah negeri yang popular ia akan menjadi pilihan untuk rakyat seluruh negara dan luar negara melancong ke sini dijangka akan berlaku peningkatan drastik bermula bulan hadapan apabila telah masuk fasa endemik.
“Dimana perkara berkenaan akan diumumkan dengan melihat penurunan kes semasa melibatkan jangkitan Covid-19, memandangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah membatalkan gelembung pelancongan.
“Semua tempat pelancongan telah dibenarkan untuk dibuka dengan sepenuhnya, namun begitu pengunjung lengkap dua dos vaksin tetap menjadi keutamaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Merchang, Awang Hussin atau dikenali oleh penduduk setempat sebagai Haji Mat Nor berkata, dengan perasmian pantai berkenaan ia akan memberi impak yang baik kepada komuniti setempat.
“Kita telah angkat permohonan kepada kerajaan bermula tahun 2018 bagi dimajukan tempat ini, Alhamdulillah dengan pertambahan pengunjung datang ke sini, ia akan membantu mengerakkan ekonomi penduduk.
“Dimana mereka boleh berniaga dengan membuka gerai-gerai jualan dan juga boleh mengusahakan untuk membuka tempat menginap seperti chalet dan inap desa, jadi usaha kita selama ini mendatangkan hasil yang berbaloi apabila kerajaan bersedia memajukan tempat ini
“Sangat dialu-alukan untuk datang dengan keluarga pada hari minggu terutamanya hari Sabtu yang telah diisytiharkan oleh kerajaan negeri sebagai ‘Hari Keluarga’ untuk melakukan pelbagai aktiviti yang terdapat di sini menghabiskan masa di waktu hujung minggu, selain ia juga selamat untuk mandi manda,” katanya.
Di antara aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung ialah berkayak, aktiviti mencari kepah dan teritik, ekspedisi berkeluarga ke laluan herba di Pulau Ranggut, menghilir mudik Sungai Merchang yang damai sambil memancing dan mencandat sotong selain adanya gerai jualan makanan produk tempatan.
Untuk rekod, kerajaan pada tahun ini telah memperuntukkan RM800,000 kepada 39 lokasi Program Pengindahan Produk pelancongan di seluruh negeri, yang dibuat secara gotong royong melibatkan komuniti setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), penggiat pelancongan dan sebagainya.