KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Kerajaan negeri menyarankan masyarakat yang berminat dengan Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN) agar tidak lewat dalam membuat permohonan yang akan dibuka 17 Oktober ini sehingga 28 Februari 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Dr Alias Razak berkata, nasihat tersebut agar melancarkan proses permohonan bagi memastikan penerima yang benar-benar layak menerima manfaat berkenaan.
Jelas beliau, antara syarat permohonan skim i-RAHMAN seperti pemohon atau pasangan merupakan rakyat Terengganu yang menetap di negeri Terengganu serta berumur 21 tahun ke atas.
“Bagi pemohon yang melebihi umur 50 tahun boleh dipertimbangkan dengan syarat mempunyai jaminan bayaran daripada ahli keluarga (isteri/adik-beradik/ibubapa/anak-anak).
“Berkahwin manakala 10 peratus diperuntukkan kepada golongan bujang yang berumur 35 tahun ke atas layak dipertimbangkan.
“Pemohon dan pasangan juga tidak memiliki rumah sendiri dengan pendapatan isi rumah bermula RM2,000.00 sehingga RM4,500.00,” katanya ketika Majlis Pelancaran I-Rahman, pagi tadi.
Tambahnya, syarat bagi kategori beli rumah penswastaan adalah pemohon yang ingin membeli rumah penswastaan tetapi tidak melepasi kelayakan pinjaman melalui bank perlu disertakan surat penolakan daripada bank (sekurang-kurangnya dua bank).
“Manakala syarat tanah (RMR RAHMAN) adalah permohonan bina rumah di atas tanah sendiri perlu mempunyai keluasan minima (50’ lebar x 72’ panjang) serta tapak bersesuaian dan bebas dari gadaian atau bebanan ke atasnya (siap tambun).
“Untuk maklumat lanjut, boleh merujuk di laman web e-perumahan di pautan laman sesawang https://eperumahan.terengganu.gov.my mengenai syarat-syarat, dokumen yang diperlukan untuk membuat sebarang permohonan yang ditawarkan oleh SUK (Bahagian Perumahan).
“Kesemua permohonan adalah secara atas talian sejak tahun 2014, untuk memudahkan rakyat tanpa perlu hadir ke pejabat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal.
Beliau turut menyifatkan ia sebagai satu detik kejayaan dalam menjayakan Manifesto ke-11 iaitu memperuntukkan RM50 juta setahun untuk Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat, bertujuan untuk membantu rakyat membina rumah atas tanah sendiri.