HULU TERENGGANU, 11 October – Laluan alternatif yang menghubungkan Kampung Kuala Por ke Kampung Pasir Nering siap dibina sementara menunggu kerja pembaikian dan pembinaan jambatan baharu siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, jalan yang dibina lebih tiga kilometer itu menelan perbelanjaan lebih daripada RM700 ribu.
“Pada tahun lepas, kita membina sebuah jambatan untuk menghubungkan jalan ini daripada Kuala Por ke Pasir Nering dan anggaran kos jambatan tersebut kira-kira sebanyak RM200 ribu.
“Jalan baru ini akan memudahkan penduduk setempat kerana jambatan dahulu runtuh pada akhir tahun lepas dan jambatan yang baharu sedang dalam proses pembinaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di jalan baru Kuala Por, Kuala Berang, semalam.
Menurut beliau yang juga Exco kerajaan negeri, jambatan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk setempat.
“Dahulu di sini banyak kawasan pertanian dan sukar untuk penduduk datang, oleh itu dengan siapnya jalan ini dapat menyelesaikan perkara tersebut.
“Dijangkakan dalam masa beberapa tahun lagi ramai penduduk akan membina rumah mereka di sekitar jalan ini kerana kawasan ini sudah tidak banjir lagi serta kemudahan dari segi air dan elektrik tidaklah begitu sukar dilalukan, insya-Allah,” katanya lagi.