Home Berita PAS Terengganu

Lakukan ujian kendiri sebelum masuk Terengganu

120
SHARE

KUALA TERENGGANU – Orang ramai yang berhasrat ke Terengganu selepas kebenaran rentas negeri diumumkan, digalakkan mengambil ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum masuk ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata, itu merupakan syarat kerajaan negeri bagi mengawal penularan kes Covid-19 di Terengganu.

Katanya, langkah tersebut difikirkan perlu berikutan  peningkatan jumlah kes Covid-19 terutama melibatkan varian Delta dan Beta di negeri ini sejak kebelakangan ini.

“Sejak akhir Jun sehingga Selasa, sebanyak 42 kes penularan varian Delta(33 kes)dan Beta( 9 kes) sudah dikesan.

“Justeru,orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan penularan varian membimbangkan (VOC) ini, katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Dr Alias,  kit ujian saringan tersebut boleh didapati sama ada di klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta sebelum memulakan perjalanan ke sini.

“Mereka juga boleh melakukan ujian saringan kendiri dengan membeli kit ujian kendiri di farmasi berhampiran tempat tinggal masing-masing.

“Sekiranya keputusan ujian tersebut positif, pengunjung dinasihatkan menangguhkan perjalanan kerana kita tidak mahu mereka mencetuskan penularan wabak Covid-19 sekaligus menyusahkan ramai pihak,” katanya.