Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor Us Shafie Ngah | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Shafie Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor
Maklum balas awam terhadap berita yang disiarkan tentang Muafakat Nasional Selangor akan terus diperkukuhkan adalah positif, alhamdulillah. Rata-rata masyarakat awam, khususnya orang Melayu gembira bahawa MN Selangor masih wujud dan mahu diperkukuhkan.
Tanpa dijangka, jadual pertemuan PAS dan UMNO Selangor telah berlangsung pada hari yang sama dengan iklim yang panas di negeri Melaka. Dua suasana yang berbeza – harmoni dan tegang – menjadi warna politik yang menarik pelbagai pandangan.
Suka disebut di sini bahawa selain Selangor, Pahang dan Pulau Pinang juga turut komited dengan gabungan Muafakat Nasional. Ini menunjukkan bahawa MN Selangor tidak bersendirian. Sudah tentu menjadi cita-cita dan doa kita agar negeri-negeri lain, khususnya di semenanjung ini turut kembali mempertautkan hubungan MN di negeri masing-masing.
Kita tinggalkan dahulu keputusan di negeri-negeri lain, dengan kita berikan tumpuan kepada negeri Selangor sahaja. Ini kerana hasil kajian awal menunjukkan bahawa sambutan kepada pengukuhan MN di Selangor sangat diterima baik oleh masyarakat awam. Kakitangan awam, komuniti pengajian tinggi, pentadbiran surau masjid dan usahawan-usahawan Melayu adalah antara kelompok yang menyambut baik pemerkasaan MN Selangor ini.
Namun pada masa yang sama mereka risau dengan keputusan kepemimpinan parti politik Melayu di peringkat tertinggi yang acuh tak acuh dengan pertautan UMNO PAS ini. Lebih dikesali, mereka adalah kumpulan awal yang mencetuskan Muafakat Nasional di peringkat kebangsaan.
Ya, sudah pasti ada isu di sebalik keputusan mereka. Apa isunya, hanya mereka yang tahu. Namun, mereka patut sedar dan insaf bahawa masyarakat awam, tidak kira golongan profesional atau bukan profesional masih berharap dengan MN. Jadi pada hemat saya, apapun isu yang melatari keputusan kepemimpinan tertinggi, itu adalah urusan mereka, bukan urusan kita. Mereka berada di situpun dengan sebab orang bawahan ini, bukan tup-tup mereka ada di situ. “Sindri mau ingat la”.
Kerisaun kedua mereka ialah kesanggupan MN Selangor berhadapan dengan kehendak kepemimpinan di peringkat nasional. Mampukah nanti MN Selangor bertahan dan tidak berganjak sekiranya (ya, sekiranya) kepimpinan masing-masing memberi amaran atau kata dua kepada UMNO/PAS Selangor?
Kerisauan-kerisauan yang saya kongsikan di atas adalah perkara yang real, bukan andaian. Atas sebab itu MN Selangor perlu terus komited sehingga ke ‘titisan darah terakhir’. Jika tidak, jangan mimpi untuk mengambil alih kerajaan negeri daripada tangan Pakatan Harapan.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor