Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor Us Shafie Ngah | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Shafie Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor
PAS memilih peti undi sebagai wasilah (cara) untuk mencapai cita-citanya. Maknanya, PAS memilih sistem demokrasi ber-Parlimen Malaysia sebagai medium untuk bergerak, waimma dari sudut politik, dakwah atau tarbiyah. PAS tidak pernah bergerak secara subversif atau ‘bawah tanah’. Semua aktiviti PAS adalah menurut peraturan dan undang-undang negara.
Melalui peti undi yang diisi oleh para pengundi maka terpilihlah wakil rakyat, sama ada daripada parti PAS atau parti bukan PAS. Wakil rakyat inilah yang berperanan membuat dasar dan undang-undang negara, mahupun negeri.
Tidak cukup dengan melahirkan wakil rakyat, peti undi juga akan menentukan siapakah majoriti. Pentingnya majoriti kerana jumlah majoriti sekumpulan wakil rakyat di Parlimen atau Dewan Negeri, akan menjadi kerajaan. Menjadi kerajaan boleh menggubal undang-undang, meminda undang-undang, malah membatalkan undang-undang.
Namun, harus barang diingat, menjadi kerajaan semata-mata belum tentu dapat meluluskan satu-satu undang-undang yang dibentangkan di Parlimen. Ia perlu mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlmen pula. Jika ada Ahli Parlimen kerajaan yang tidak bersetuju dengan satu-satu undang-undang yang diusulkan oleh kerajaan, boleh jadi usul tersebut gagal. Ini berlaku terutama jika jumlah Ahli Parlimen di blok kerajaan tidak jauh beza dengan di blok pembangkang.
Saya ulang, menjadi kerajaan semata-mata belum tentu dapat meluluskan satu-satu undang-undang yang dibentangkan di Parlimen. Buktinya ialah ketika mana kerajaan PH mengusulkan pindaan kepada Rang Undang-Undang Perjanjian Malaysia 1963. Usul tersebut tidak mendapat undian majoriti kerana ada Ahli Parlimen daripada blok kerajaan yang tidak menyokong usul berkenaan. Maka usul tersebut gagal diluluskan.
Sebab, menjadi kerajaan semata-mata belum tentu dapat meluluskan satu-satu undang-undang yang dibentangkan di Parlimen.
Mengapa PAS masih bersama kerajaan hari ini?
Tidak sedikit yang bertanya mengapa PAS masih bersama kerajaan hari ini sedangkan PAS masih tidak boleh menggubal undang-undang Islam?
PAS sedar bahawa menjadi kerajaan semata-mata belum tentu dapat meluluskan satu-satu undang-undang yang PAS mahukan, namun PAS berhasrat mengambil peluang yang ada untuk melakukan tugas-tugas lain.
Tugas-tugas apa? Tugas-tugas yang meliputi urusan al-amru bil ma’ruf wa an-nahyu ‘anil munkar (menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang munkar), setakat yang PAS terdaya. Ya, setakat yang PAS terdaya.
Inilah usaha PAS, dari dahulu hingga sekarang. Bukan setakat ucap kata yang manis di bibir mulut, malah di maktubkan di dalam Perlembagaan PAS. Kerana PAS tetap komited dengan ‘sistem peti undi’ yang diamalkan di negara ini.
PAS bergerak sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud,
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh yang ma’ruf dan menceggah yang munkar. Mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
(Surah Ali ‘Imran : 104)
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor