Home Berita PAS Terengganu

Ternak kelulut selepas pulih derita batuk

184
SHARE

HULU TERENGGANU, 4 Oktober – Seorang lelaki tidak menyangka penternakan lebah kelulut yang diusahakan untuk keperluan sendiri bagi merawat penyakit batuk dihidapinya, kini menjadi perniagaan yang memberi pulangan lumayan kepada dirinya dan keluarga.

Suhaimi Salleh, 46 berkata beliau mula berminat menternak lebah kelulut selepas merasai sendiri khasiat madu kelulut yang dibeli dari rakannya.

“Saya menghidap batuk hampir setahun namun selepas mengamalkan pengambilan madu kelulut, penyakit itu beransur pulih dan badan saya juga terasa kembali segar dan bertenaga.

“Saya tidak berniat pun untuk mengkomersialkannya tetapi atas permintaan ramai, akhirnya saya jual dan mula menternak unggas itu sebagai pendapatan sampingan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Machang, Ajil, hari ini.

Selepas hampir lima tahun mengusahakan penternakan lebah kelulut, bapa kepada empat anak, kini tidak ‘menang tangan’ untuk memenuhi permintaan pelanggan, malah ada yang membuat tempahan berulang kerana ‘terpesona’ dengan madu berkualiti tinggi itu.

“Istimewanya madu di sini, ia dari sumber pelbagai bunga dan mempunyai rasa berbeza termasuk warna yang menyebabkannya menjadi kegilaan ramai,” katanya yang mempunyai 110 log (kotak mengandungi sarang lebah) yang diletakkan di pekarangan rumah.

Suhaimi yang bekerja sebagai pegawai keselamatan di Sekolah Kebangsaan Kua berkata dia mampu meraih purata pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

“Dalam tempoh pandemik COVID-19, permintaan madu kelulut semakin meningkat kerana khasiat dimiliki seperti mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi.

“Bagaimanapun, pada musim hujan, pengeluaran madu akan berkurangan,” katanya yang menjual madu kelulut keluarannya pada harga RM70 hingga RM180 sebotol bergantung pada berat.

Dia juga memasang cita-cita untuk memperluaskan lagi pasaran madu kelulut serta menambah hasil pengeluaran sedia ada pada masa hadapan.