Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor Us Shafie Ngah | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Shafie Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor
Berita tentang kes Adib ‘ditutup sementara’ agak mendukacitakan. Mendukacitakan Waris Allahyarham dan mendukacitakan ramai orang yang mahu kematian Adib diberikan pembelaan dan keadilan.
Sabtu lalu akhbar tempatan menyiarkan berita bahawa kes ini ditutup sementara, sehingga ada bukti baharu. Respond daripada bapa Allahyarham, berharap pihak PDRM terus menyiasat sehingga keadilan dapat ditegakkan, dan sekurang-kurangnya memuaskan hati keluarga dan waris.
Jika beginilah, nampaknya kes Adib akan terus dijaja di sana sini. Malah mungkin akan menjadi seperti goreng pisang panas di kalangan ahli-ahli politik. Sampai musim pilihanraya nanti ia semakin laku dan laris! Siapa yang untung?
Alangkah bagusnya jika ada undang-undang Islam.
Ini kerana undang-undang kita pada hari ini tidak memberi jalan keluar kepada masalah yang ada. Apabila tidak cukup bukti, walaupun khabarnya sudah dibuat siasatan demi siasatan, akhirnya kes ditutup! Kematian Allahyarham Adib tidak terbela. Waris dan keluarga terus hampa. Penjenayah tidak merasa apa-apa!
Undang-undang kita nampaknya perlu dipinda. Dipinda kepada yang lebih baik. Yang lebih baik tentunya undang-undang Islam. Sebab itu, alangkah baiknya jika negara kita mengamalkan undang-undang Islam.
Izinkan saya memberi pandangan dalam perkara ini. Saya mulakan dengan prinsip pembuktian dalam undang-undang jenayah Islam – Hudud, Qisas dan Ta’zir.
Dalam Undang-undang jenayah Islam, Islam menentukan prinsip umum yang ketat dalam prosedur pembuktian, terutama dalam kes jenayah. Yang kena tuduh tidak boleh dizalimi, yang menuduh tidak boleh menuduh sesuka hati.
Prinsipnya ialah “pembuktian oleh pihak yang menuduh, atau sumpah (penafian) oleh pihak yang kena tuduh.”
Maknanya, sekiranya pihak yang menuduh (pendakwa) ada cukup bukti bahawa pihak yang kena tuduh sah-sah melakukan perbuatan jenayah, barulah pihak yang kena tuduh boleh dihukum. Sebaliknya jika pendakwa tidak berupaya memberi cukup pembuktian maka pihak yang kena tuduh pula diberi peluang untuk bersumpah menafikan beliau melakukan jenayah sebagaimana tuduhan ke atasnya. Jika beliau bersumpah, kes dibuang.
Itulah prinsip pembuktian dalam kes jenayah. Tetapi prinsip umum ini ada pengecualian iaitu bagi kes pembunuhan yang tidak dapat dikenalpasti siapa pembunuhnya. Kaedah tersebut disebut al-qasamah.
Al-qasamah adalah sumpah oleh sejumlah 50 orang, sama ada oleh pihak yang menuduh – dengan tujuan mensabitkan pertuduhan, atau dengan sumpah oleh pihak yang kena tuduh – dengan tujuan untuk menggugurkan tuduhan.
Rasulullah SAW pernah menunjukkan cara kaedah ini terpakai, sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim iaitu;
Daripada Rafi’ bin Khadij dan Sahl bin Abu Hathmah, mereka berdua menceritakan bahawa Abdullah bin Sahl dan Muhayyisoh bin Mas’ud datang ke Khaibar (kawasan Yahudi) dan mereka terpisah di sebuah kebun tamar. Tidak lama selepas itu Abdullah bin Sahl ditemui mati terbunuh. Lalu Muhayyisoh bin Mas’ud beserta Abdul Rahman bin Sahl dan Khuwaishoh bin Mas’ud datang bertemu Rasulullah SAW. Mereka berbincang tentang kes kematian Abdullah bin Sahl. Nabi SAW bertanya; “Adakah kamu mahu supaya pembunuh dihukum dengan sumpah oleh 50 orang dari kalangan kamu?” Mereka berkata; “Wahai Rasulullah, kami tidak melihat kejadian tersebut.” Baginda bersabda; “jika demikian apakah kamu bersetuju jika Yahudi tersebut bebas dengan cara sumpah 50 orang dari kalangan mereka?” Mereka berkata; “Wahai Rasulullah, mereka (Yahudi) adalah golongan kafir.” Lantas Rasulullah SAW sendiri membayar diyat (pampasan) kepada mereka (waris si mati). Sahl (bapa si mati) berkata; “aku sendiri melihat salah seekor unta (sebagai pemberian pampasan) tersebut dengan saya memasuki sendiri kandang unta itu, tetapi saya ditendang oleh unta tersebut.” Rujuk kitab Fiqh Manhajiy (terjemahan Pustaka Salam), jilid 8, halaman 1822.
Hadith di atas merupakan dalil bagi kaedah al-qasamah dalam ke pembunuhan tanpa saksi. Al-qasamah adalah sumpah oleh sejumlah 50 orang, sama ada oleh pihak yang menuduh – dengan tujuan mensabitkan pertuduhan, atau dengan sumpah oleh pihak yang kena tuduh – dengan tujuan untuk menggugurkan tuduhan.
Ringkasan bagi memahami petunjuk hadith di atas saya catatkan sebagaimana berikut:-
1. Dalam setiap kes kematian akibat pembunuhan, kematian tersebut perlu diadili.
2. Pengadilan, sama ada bertujuan untuk memberi pembelaan kepada si mati, atau menghukum si pembunuh, atau setidak-tidaknya memberi kepuasaan perasaan kepada waris si mati.
3. Bagi kes kematian yang tidak dapat dibuktikan siapa pembunuhnya maka Islam menyarankan kaedah al-qasamah iaitu sumpah oleh sejumlah 50 orang, sama ada oleh pihak yang menuduh atau pihak yang kena tuduh.
4. Sekiranya kaedah tersebutpun tidak dapat membela kematian si mati, atau tidak dapat menghukum si pembunuh, maka perasaan waris perlu ditenangkan dengan cara lain.
5. Menenangkan perasaan waris boleh berlaku dengan cara pembayaran diyat (pampasan).
6. Diyat bagi kes seumpama ini perlu dibayar oleh kerajaan, di bayar kepada waris si mati.
7. Jumlah diyat adalah sekurang-kurangnya dengan nilai harga unta (kini sudah ada kajian yang menilaikan menurut nilaian emas).
Persoalan, macamana tiba-tiba datangnya diyat?
Jawabannya, diyat adalah satu jalan penyelesaian tambahan setelah wujudnya undang-undang Hudud, Qisas dan Ta’zir. Dan ianya dipraktiskan oleh Ketua Negara iaitu Rasulullah SAW.
Undang-undang jenayah di negara kita
Undang-undang jenayah di negara kita masih ada ruang untuk ditambah baik. Kes Adib patut menjadi pengajaran kepada semua pihak demi sama-sama beranjak kepada yang lebih baik.
Ia bukan sekadar peluang untuk dipolitikkan.
Justeru, saya mohon mencadangkan;
(1) pertama dan utama sekali saya mencadangkan supaya undang-undang jenayah kita (penal code) dipinda, dengan menambah peruntukan yang khusus untuk disesuaikan dengan Hudud, Qisas dan Ta’zir. Sekaligus memperuntukkan perihal diyat (pampasan, compensation). Tidak cukup dengan penal code, undang-undang prosedurnya dan undang-undang keterangannya perlu dipinda sekali, sesuai untuk mengiringi penal code tersebut.
(2) Kedua, sementara dibuat pindaan kepada undang-undang berkenaan, kerajaan wajib menutup kes Adib ini dengan keputusan yang melegakan. Setidak-tidaknya melegakan perasaan keluarga Allahyarham. Pihak kerajaan sepatutnya menggunakan kuasa-kuasa tertentu yang ada di tangannya untuk memberi pampasan kepada waris Allahyarham Adib. Untuk itu saya mohon mencadangkan supaya suatu jumlah pampasan bersifat ex-gratia diberikan kepada waris Allahyaham.
Dengan semangat Keluarga Malaysia dan adanya MoU di antara kerajaan dan pembangkang pada hari ini saya percaya pemberian pampasan kepada waris Allahyarham Adib bukan masalah besar.
Kan?
3 Oktober 2021 | 26 Safar 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor