Home Rencana PAS Pahang

Rencana | Keseimbangan antara dunia dan akhirat

2031
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

Apakah ukuran keseimbangan antara dunia dan akhirat? Adakah seimbang bermaksud 50 akhirat dan 50 dunia?

Sesungguhnya keseimbangan dalam Islam berkaitan hal dunia dan akhirat tidak boleh dilihat dengan nombor dan bilangan tetapi melihat keseimbangan yg telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Dalam Islam, tidak ada pemisahan antara dunia dan akhirat bahkan kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain.

Ajaran Islam tidak pernah memisahkan  antara urusan dunia dan akhirat. Semuanya adalah urusan agama yang ada nilaiannya di akhirat nanti.

Manusia mesti melakukan urusan keduniaan menepati dasar-dasar Islam atau syariat Islam.

Ibadah kepada Allah SWT tidak boleh ditetapkan kepada ibadah khusus berkaitan hubungan dengan Allah SWT sahaja seperti sembahyang, zikir dan lain-lain, tetapi ia merangkumi semua ibadah umum seperti berkerja, melaksanakan amanah dan tanggungjawab, dakwah dan jihad, ekonomi dan kenegaraan, ibadah yang sahih dan akidah yang benar, akhlak dan keadilan, ilmu dan kekayaan, kebudayaan dan undang-undang dan lain-lain.

Untuk mendapatkan keseimbangan ini, hendaklah mendapat panduan syariat Islam yang menjadi dasar kehidupan dan cara hidup (Ad-Din) manusia.

Apabila kita mengabaikan syariat Islam maka akan berlaku ketidakseimbangan dalam kehidupan manusia.

Contoh keseimbangan antara urusan dunia dan akhirat ialah seperti:

  1. Sembahyang dan bekerja – Tidak mengabaikan kewajipan sembahyang pada waktu yang ditetapkan.
  2. Mengumpul harta – Diseimbangkan dengan membayar zakat dan tidak melakukan pembaziran.
  3. Berehat dan beribadah – Memberikan sedikit masa di malam hari, bangun malam untuk melakukan amalan-amalan sunnah.
  4. Keseimbangan dalam ibadah puasa dan makan – Puasa di waktu siang sahaja manakala di malam hari boleh melakukan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan ketika berpuasa.
  5. Keseimbangan dengan memahami fiqh awlawiyat – Mendahulukan yang wajib berbanding dengan yang sunat dan mendahulukan menolak kemudaratan dengan mengambil maslahah.
  6. Dalam perniagaan, dibenarkan jual beli tetapi diharamkan riba dan penipuan.

Islam menolak tanggapan tidak perlu kepada dunia kerana semata-mata ingin beribadah kepada Allah SWT.

Sekiranya seseorang meninggalkan urusan dunia, sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak, tanggungjawab kepada dakwah dan masyarakat, mengabaikan tanggungjawab terhadap negara dan ummah sehingga umat Islam menjadi lemah dan hina, maka ia bukanlah ajaran Islam dan ia telah melakukan ketidakseimbangan dalam urusan agama.

Kesimpulannya, apa yang dimaksudkan keseimbangan di antara dunia dengan akhirat ialah apabila kita melaksanakan tuntutan syariat sama ada yang wajib, sunat dan harus serta dapat meninggalkan yang haram dan makruh.

Orang-orang yang bahagia di dunia dan akhirat adalah orang yang dapat dengan sepenuhnya melaksanakan semua tuntutan agama dan meninggalkan semua larangan Allah SWT termasuk sesuatu yang meragukan.

Wallahu a’lam.