KUALA TERENGGANU – Pemberian air percuma kepada penduduk yang terlibat dalam insiden Air Berangan di Kuala Nerus dan sebahagian daerah ini akan dilaksanakan pada Oktober dan November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pengecualian pembayaran bil melibatkan 130,000 pengguna itu selaras dengan pengumuman kerajaan negeri sebelum ini.
“Pengecualian bayaran adalah bagi bulan Oktober dan November dengan anggaran kos sebanyak RM1.2 juta dengan penggunaan air 2 juta meter padu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Dr Mamad, pengguna disaran untuk menggunakan air dengan cermat dan tidak membazir.
“Penggunaan berhemah akan memastikan sistem agihan air terawat di kawasan terbabit tidak terganggu,” jelasnya.
Sewaktu insiden Air Berangan melanda baru-baru ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan pemberian air percuma selama dua bulan sebaik proses pembaikan selesai sepenuhnya.