Home Rencana PAS Selangor

3 panduan menghadapi musibah – DPPK Bangi

44
SHARE

Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Oleh : Abu Miftah
UKJ Sungai Ramal (Dewan Pemuda PAS Kawasan Bangi)

Musibah COVID-19 yang melanda hampir 2 tahun kini begitu mencabar kehidupan kita dan seluruh masyarakat di seluruh dunia.
Segenap lapisan masyarakat terkesan dengan gelombang wabak ini yang tidak hanya mengancam nyawa dan kesihatan bahkan turut menjejaskan pelbagai perkara. Kesannya begitu besar, aktiviti ekonomi, perniagaan, pengajian dan pendidikan serta pekerjaan telah terjejas teruk khususnya kepada anak muda.

Senang susah kehidupan ini hanya kita yang tahu. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Setiap daripada kita pasti ada pekara yang memberi pengajaran dalam memahami erti dan nilai kehidupan. Namun nilai kehidupan sebagai seorang hamba yang beriman kepada Allah dan Nabi SAW itu perlu di fahami melalui panduan yang terkandung di dalam rujukan Al-Quran dan Hadith Nabi SAW.

Berikut dikongsikan beberapa panduan saat berdepan musibah untuk di fahami dan dihayati sebagai panduan kehidupan kita:

𝟭. 𝗠𝗲𝗺𝗼𝗵𝗼𝗻 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝘁 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝘁𝘂𝗻𝗷𝘂𝗸

Ketika pandemik COVID-19 menjelma, hiruk pikuk dunia terhenti denyutnya dari kesibukan manusia yang lari melindungi diri dari wabak yang meragut nyawa sesiapa saja yang dijangkitinya. Kerisauan itu membekukan gelojak nafsu manusia yang panas membara untuk kembali reda mengingat kehidupan yang sementara. Di sini, Ibrah dari teladan pemuda Al-Kahfi boleh kita teladani saat berusaha menyelamatkan nyawa degan lari ke dalam gua dari bahaya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi Ayat 10 yang bermaksud: Ingatkanlah peristiwa ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.

Meneliti ayat ini dapatlah di fahami tatkala seseorang hamba itu diancam nyawa dan keselamatan diri dari bahaya hendaklah mereka meletakan pengharapan kepada Allah dengan memohon rahmat dan pentunjuk dariNya untuk berhadapan dengan ujian tersebut.

𝟮. 𝗠𝗲𝗺𝗼𝗵𝗼𝗻 𝗣𝗲𝗹𝗶𝗻𝗱𝘂𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗿𝗶𝘀𝘁𝗶𝗴𝗵𝗳𝗮𝗿

Tatkala kita melindungi diri di kediaman bersama keluarga tanpa kita bebas bergerak di luar tidak ada jaminan bahawa kita selamat dari ancaman dan musibah melanda. Sebagai seorang yang beriman kita yakin dan percaya hanya Allah sahaja tempat sandaran kita untuk berlindung dari segala mara bahaya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal Ayat 33 yang bermaksud: Dan Allah tidak sekali-kali akan mengazab (menyeksa) mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).

Ayat ini menerangkan jaminan Allah SWT kepada orang beriman bahawa keselamatan mereka akan terjamin dari sebarang bentuk azab atau seksaan sekiranya mereka bersama Nabi SAW atau mereka beristighfar memohon keampunan kepada Allah SWT. Maka dapatlah di fahami bahawa dengan bersama Nabi SAW dan beristighfar memohon keampunan akan menghindar azab seksa dari Nya.

𝟯. 𝗠𝗲𝗺𝗯𝗮𝗶𝗸𝗶 𝗗𝗶𝗿𝗶 𝗦𝗲𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗦𝗲𝗻𝗱𝗶𝗿𝗶

Dalam situasi yang penuh mencabar ramai yang tidak dapat menahan diri dari tekanan dan ujian hidup. Pelbagai berita yang mengerunkan jiwa di dengar tatkala ada yang mengambil jalan untuk berhenti dari terus hidup didunia. Justeru tugas orang beriman adalah untuk mengajak manusia keluar dari kesempitan hati dan dunia kepada keluasan rahmat Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Hud Ayat 117 yang bermaksud: Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

Meneliti 3 panduan Al-Quran ini, yakinlah kita bahawa di sana telah tercatat panduan dan jalan yang telah Allah sediakan untuk kita berhadapan dengan sebarang musibah. Saat kita melihat dunia umpama diselimut kegelapan yang tidak bercahaya menanti hujung yang tidak tiba, sebenarnya ada cahaya yang belum di singkap melalui amalan dan pengharapan penuh kepadaNya. Tatkala ianya dibuka pasti datang pertolongan dari Allah SWT pemilik kehidupan dunia dan akhirat.

17 September 2021 | 10 Safar 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor