Home Rencana PAS Selangor

Antara Ahmad dan Ngah – Setiausaha BPPN Selangor

60
SHARE

May be an image of 2 people and people standing

Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor

Hari Selasa ini ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat akan mengundi calon untuk jawatan Timbalan Speaker yang kosong berikutan perletakkan jawatan penyandang sebelumnya Datuk Azalina Othman Said.

Pihak kerajaan di bawah PM Dato Sri Ismail Sabri Yaakob telah mencalonkan MP Pontian dari Umno-BN iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan manakala pihak pembangkang yang mewakili blok Pakatan Harapan telah mencalonkan MP Teluk Intan dari DAP Nga Kor Ming.

Amalan yang lazim di Dewan Rakyat mahupun Dewan-dewan Negeri, jawatan Timbalan Speaker disandang oleh mereka yang dari parti kerajaan. Tidak pernah sebelum ini malah sewaktu 22 bulan pemerintahan PH sekalipun jawatan ini disandang wakil pembangkang.

Alasan kononnya mahu melaknsanakan reformasi dalam urusan Parlimen dengan menaikkan wakil pembangkang langsung tidak masuk akal malah tidak ada berkaitan pun dengan penambah-baikan amalan d Parlimen. Ia mainan pihak PH untuk mencuri kesempatan semata-mata.

Kita boleh bayangkan betapa gawat dan porak-perandanya Parlimen jika Timbalan Speaker datangnya dari bangku pembangkang. Sudah pasti ia terikat dengan sentimen menyebelahi pihak pembangkang, pasti riuh-rendah sesuatu yang sangat tidak kita perlukan diwaktu ini.

Barangkali kerana itulah jawatan Speaker dan Timbalannya biasanya datang dari mereka yang pro kerajaan, ia menjamin kelicinan perjalanan sidang Dewan.

Apa pun hak kerajaanlah untuk memastikan Speaker dan Timbalan-timbalannya adalah dari kalangan mereka yang boleh berkerja dengan kerajaan. Jika PH bersungguh mahu merobah amalan ini, mereka boleh mulakan di negeri-negeri yang mereka kuasai iaitu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Mengapa tidak?

Berbalik kepada pilihan antara Ahmad Maslan dan Nga siapakah yang layak?

Ahmad Maslan merupakan Setiausaha Agung Umno, dan seorang MP sejak 2008. Beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan dan kemudiannya Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sehingga 2018.

Berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dan Sains Politik dari Universiti Victoria, Wellington dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari UKM.

Nga pula merupakan Timbalan Setiausaha Agung DAP, beliau juga menyertai Parlimen bermula 2008 dan juga ADUN Perak. Semasa pemerintahan PH beliau merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya.

Dari sudut pendidikan dan pengalaman kedua-dua mereka layak.
Namun soalnya siapakah yang lebih layak?

Sudah pastilah calon yang mewakili parti pemerintah. Sudah pastilah calon yang tidak pernah mencetuskan ketegangan dan kontroversi.

Siapakah Nga?

Semasa berkempen dalam Pilihan raya Kecil Cameron Highlands dahulu Nga yang ketika itu Timbalan Speaker pernah menuduh bahawa kerjasama UMNO dan PAS boleh menyebabkan permusuhan agama. Beliau turut mendakwa Malaysia akan menjadi Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya UMNO dan PAS membentuk kerajaan.

Usaha menyatupadukan politik umat Melayu Islam dianggap sebagai satu ancaman oleh Nga. Orang beginikah layak menyandang jawatan Timbalan Speaker?

Selain itu Nga pernah mendakwa pada bulan Febuari 2020: “Any ‘backdoor government’ without mandate from the people is a betrayal to the country and the people. It is illegitimate, will not last long and will be punished by the people.” (Sebarang kerajaan “pintu belakang” tanpa mandat rakyat mengkhianati negara dan rakyat. Ianya tidak sah dan tidak boleh kekal lama malah akan dihukum oleh rakyat).

Anehnya hari ini kerajaan yang sama masih berkuasa, dan Nga mahu menjadi Timbalan Speaker. Bukankah kerajaan ini tidak sah dan patut dihukum?

Dalam pada itu ketika krisis kerajaan negeri Perak pada bulan Disember 2020 dulu, boleh pula Nga dan rakan-rakannya menghulurkan tangan untuk berkerjasama dengan Umno yang beliau cap Taliban semata-mata untuk mahu membentuk kerjaan negeri Perak yang baru.

Mujurlah tawaran DAP ditolak dan hari ini Nga yang berputar-belit pendiriannya mahu pula menjadi Timbalan Speaker.

Demikianlah Nga yang semasa Konvensyen DAP Perak kali ke 19 baru-baru ini, telah dihujani dengan tuduhan “Nga tipu” oleh para perwakilan DAP kerana cuba memanipulasi proses pemilihan parti peringkat negeri Perak.

Sebaiknya ikutlah konvensyen atau amalan yang sedia terpakai.

Insyallah Selasa nanti pencalonan Ahmad Maslan yang mewakili kerajaan pimpinan PM yang sah akan menang dengan majoriti manakala jika ada yang berselera mahu undi Nga juga silakan, tetapi yang pasti yang memiliki majoritilah yang akan menang, dan ianya sudah pasti bukan PH.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor