Oleh : ROSLINA NOR
LUMUT, Bayi berusia 36 hari yang disahkan menghidapi penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan telah mendapat perhatian PAS Kawasan Lumut yang menziarahi keluarga tersebut di Kampung Teluk, Ayer Tawar, semalam.
Adik Muhammad Firash Farhanshah Ridzuan memerlukan kos pembedahan sebanyak RM35,000 bagi menjalankan pembedahan jantung di usia tiga bulan di samping kos sampingan seperti perjalanan ulang alik bagi tujuan perubatan di IJN.
Bapanya, Ridzuan Aziz ketika ditemubual menceritakan beliau menyedari anaknya berkeadaan luar biasa dan pernafasannya laju semasa pemeriksaan kuning di hospital.
“Semasa pemeriksaan, doktor telah mengesan jantung anak saya bermasalah. Setelah dilakukan x-ray, pihak Hospital Seri Manjung menyarankan saya membuat rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, ujar beliau
Yang Dipertua PAS Kawasan Lumut, Rosli Abd Rahman turut bersimpati mendengar luahan seorang bapa dengan ujian yang diterima keluarga berkenaan, menasihati agar bersabar dan redha atas ketentuan-NYA.
Rombongan PAS telah menghulurkan sedikit sumbangan hasil kutipan ahli PAS Lumut serta penduduk setempat bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung untuk kos rawatan anak kelima mereka.
Setiausaha PAS Lumut, Hamidun Ahmad memohon para dermawan yang ingin menghulurkan sumbangan membantu mereka yang serba kekurangan ke akaun 08059010000292 Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama PAS Kawasan Lumut.