KUALA NERUS – Seorang ibu tunggal bersama dua orang anaknya kini hidup sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dijilat api.
Mahani Ali, 55, berkata dia menyedari kejadian tersebut semasa sedang menjemur keropok di rumah jiran berdekatan.
“Sekitar jam 9 pagi saya terkejut apabila melihat asap hitam berdekatan kawasan rumah saya di Kampung Gong Pak Jin.
“Ingat ada orang membakar sampah, rupanya api sudah marak di bahagian kayu rumah saya, kemudian saya bergegas menutup segala suis elektrik dan tong gas.
“Dalam masa yang sama, anak terus telefon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu untuk padamkan api.
“Alhamdullilah tiada orang berada di dalam rumah pada masa kejadian, tapi saya tidak sempat selamatkan barang-barang, hanya motosikal dan kereta sahaja dialihkan,” luahnya ketika ditemubual pemberita semalam.
Melihat situasi menyayat hati ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim berkata, pihaknya telah menyediakan rumah sewa dalam kadar segera yang berdekatan keluarga terbabit.
“Terpulang kepada pihak keluarga sama ada mereka ingin tumpang sewa atau kembali ke rumah mereka ini selepas ini.
“Sehingga rumah bantuan dapat disiapkan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, kita telah menyumbang sumbangan tunai dan akan menyokong melalui beberapa barang keperluan harian,” katanya lagi.
Katanya, sehingga semalam, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan JBPM.