KUALA TERENGGANU – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 yang dijadual pada 13 hingga 15 September ini akan berlangsung dengan tempoh masa persidangan yang dipendekkan.
Yang Dipertuanya, Dato’ Yahaya Ali berkata, persidangan DUN berlangsung pada pukul 9.30 pagi sehingga pukul 1.00 tengah hari sahaja dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP).
Katanya, walaupun Terengganu sudah berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, namun segala SOP dan syarat–syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi oleh semua pihak termasuk pentadbiran DUN
“Selain diwajibkan mengambil dua dos suntikan vaksin, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan para petugas wajib menjalani ‘swab test’ COVID-19 pada 9 September ini.
“Hanya yang didapati negatif sahaja akan dibenarkan hadir pada sidang dewan.
“Selain itu, semua 32 ADUN dan para petugas juga akan menjalani ujian pengesanan COVID-19 ‘RTK-Antigen (Saliva Test)’ pada setiap hari semasa persidangan berlangsung,” katanya kepada pemberita secara atas talian hari ini.
Tambahnya lagi, persidangan akan dimulakan dengan titah perasmian oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang akan dibacakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Yahaya juga berkata, liputan persidangan juga boleh diikuti melalui siaran secara langsung melalui pelbagai platform kerajaan negeri seperti Portal Rasmi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan TV Darul Iman.