KUALA NERUS – Sejak pengoperasian Dobi Layan Diri Percuma Sabtu lalu, rakyat berdekatan mahupun di kawasan luar menyuarakan rasa gembira terhadap inisiatif tersebut kerana dapat meringankan beban mereka ketika masalah Air Berangan 2.0 berlaku.
Seorang suri rumah, Rosita Ismail, 37, menyifatkan usaha Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh sebagai langkah tepat dalam memudah dan menjimatkan kos dan masa mencuci pakaian setelah ketiadaan air sejak 28 Ogos lalu.
“Sebelum ini saya basuh dengan air telaga sahaja dan memerlukan tenaga lebih untuk selesaikan pakaian keluarga.
“Namun begitu, setelah melihat di Facebook bahawa wakil rakyat Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim buat dobi percuma, saya terus datang ke sini.
“Memang jimat kos jika berbanding ke dobi biasa (RM10 kecuali mesin kering), walaupun lima minit daripada rumah di Kampung Sungai Ikan, tapi dua bakul dapat dibasuh dengan sabun percuma,” katanya ketika ditemubual pemberita di PKM DUN Tepoh, hari ini.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, sambutan baik dapat dilihat terutamanya pengunjung paling ramai adalah dari kalangan kaum wanita atau suri rumah.
“Setiap hari puratanya 20 orang datang membasuh daripada dalam dan luar DUN ini, kita tidak memilih kerana niatnya untuk sama-sama menolong golongan terkesan akibat terputus bekalan air.
“Setakat ini, kita menyediakan lapan buah mesin (dua sumbangan PTA First Electrical) dan sabun daripada Dewan Pemuda PAS Negeri dengan kerjasama PASTI.
“Melihat kunjungan penduduk memanfaatkan Dobi Layan Diri Percuma ini, kami cukup berbangga dan berpuas hati menyediakan perkhidmatan ini walaupun bukan dalam tempoh yang lama,” jelasnya.