Home Rencana PAS Selangor

Sangkal tohmahan pemimpin PH : JAIS berpihak – Setiausaha DUPN Selangor

248
SHARE

Sangkal Tohmahan Pemimpin PH : JAIS Berpihak Berasaskan Merit Julang Ilmu Agama – “Bingkisan Rida’ Di Bahu” | Dewan Ulama PAS Selangor

Oleh : Muhammad Najhan Halim

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

Firman Allah swt,

وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِیَنفِرُوا۟ كَاۤفَّةࣰۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فرۡقَةࣲ مِّنۡهُمۡ طَاۤىِٕفَةࣱ لِّیَتَفَقَّهُوا۟ فِی ٱلدِّینِ وَلِیُنذِرُوا۟ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوۤا۟ إِلَیۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ یَحۡذَرُون

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

[Surah At-Tawbah 122]

1. Sebab turunnya ayat ini iaitu ketika diutuskan oleh Nabi saw sekumpulan sahabat, maka mesti ditinggalkan sekumpulan yang lain bersama Nabi saw untuk mempelajari ilmu-ilmu yang diajar oleh Nabi saw selain membantu menjaga ahli keluarga sahabat-sahabat mereka yang telah keluar berjihad. Ilmu yang dipelajari oleh sekumpulan sahabat yang tinggal bersama Nabi saw ini akan diajar pula kepada sahabat yang keluar berjihad ketika kepulangan nanti.

2. Ayat ini merupakan ayat yang meletakkan asas kefahaman bahawa Islam mewajibkan kita menuntut ilmu. Ia satu tanda bahawa Islam amat mementingkan ilmu khasnya ilmu yang membimbing manusia supaya melaksanakan perintah Allah Azza wa Jalla.

3. Justeru, kita fahami dengan begitu jelas, asas kewajiban menuntut ilmu dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan ilmu dan ia sama besar tanggungjawab dan kelebihan seperti mereka yang keluar berjihad menegakkan agama Allah dan mempertahankan negara Islam daripada diceroboh.

4. Penekanan kepada ilmu agama adalah perkara penting dalam Islam dan ilmu itu bertujuan untuk menyedarkan manusia akan peranan mereka di dunia dan habuan serta janji di akhirat nanti.

5. Mereka yang menuntut ilmu, memahami kepentingan ilmu agama, berusaha bersungguh-sungguh pula memakmurkan majlis ilmu dan juga pusat-pusat pengembangan ilmu seperti surau dan masjid adalah mereka yang benar-benar memahami tuntutan ayat ini.

6. Justeru, rata-rata yang menuntut ilmu agama samada dari dalam negara di sekolah, madrasah, pondok dan universiti tempatan serta dari luar negara seperti Mesir, Jordan, Yaman, Syria dan lain-lain boleh dikatakan merekalah yang bertebaran serata sudut negeri dalam menghidupkan dan memeriahkan aktiviti keagamaan di Selangor.

7. Mereka juga yang memenuhi jemputan, menghadiri kuliah dan ceramah, mengisi program kerohanian, membimbing masyarakat dengan agama, mengatur dan menyusun program dan aktiviti surau dan masjid. Ahli Qaryah samada surau dan masjid menjadi murid dan pelajar mereka daripada pengajian, kuliah, ceramah dan lain-lain atas asas kerana berguru dengan orang yang mampu membimbing urusan agama dan kerohanian.

8. Kelayakan mereka samada sebagai jemputan bagi pengisian program agama di masjid dan surau ataupun sebagai orang yang memakmurkan surau dan masjid bukan didasari sebagai orang yang menyokong parti tertentu tetapi atas asas merit mereka yang berkelayakan untuk menyampaikan ilmu, menghidupkan program dan memakmurkan rumah Allah.

9. Maka, pemimpin PH yang lancang mulut dan celupar di Dewan Negeri Selangor baru-baru ini harus tahu dan menilai sendiri bahawa kenapa orang PH tiada tempat di masjid dan surau atau pengajian ilmu? Tanyakanlah pada diri sendiri, apakah pemimpin PH tidak cukup merit tertentu sehingga mereka sendiri merasakan diri mereka tiada tempat di masjid dan surau? Ada pemimpin PH lantang menghina institusi agama Islam, ada yang kecam para ulamak yang mendokong ilmu dan agama Islam malah difahamkan ada pemimpin PH yang mempertikaikan pengajian ilmu Islam samada di madrasah tahfiz atau seumpamanya kononnya tiada masa depan kepada pelajar.

10. Janganlah kerana kelemahan diri mereka itu dipersalahkan pula pihak JAIS yang melaksanakan tugas dengan profesional. JAIS adalah badan kerajaan yang dinaungi oleh Tuanku Sultan sekaligus bertindak dengan aspirasi Baginda Tuanku agar masjid dan surau adalah tempat ibadah dan percambahan ilmu dan serta aktiviti kerohanian. Umum mengetahui JAIS sentiasa berdiri atas asas peraturan dan undang-undang pentadbiran Agama Islam di negeri Selangor sebaik mungkin demi kemaslahatan rakyat di negeri.

11. Islam mengajar kita untuk berlaku adil iaitu menterjemahkan maksud Meletakkan Sesuatu pada Tempatnya ketika menguruskan hal ehwal dan urusan pentadbiran agama samada di masjid dan surau iaitu diletakkan kepada orang yang berkelayakan dan paling layak di kalangan masyarakat.

FIrman Allah swt ,

وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَا مِن قَبۡلِكَ إِلَّا رِجَالࣰا نُّوحِیۤ إِلَیۡهِمۡۖ فَسۡـَٔلُوۤا۟ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Maksudnya, “..Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui…”.

[Surah An-Nahl 43]

12. Ayat ini juga sebagai hujah bahawa bagaimana Islam mendidik kita supaya kembali merujuk hal sesuatu kepada orang yang berilmu dalam erti kata bahawa setiap urusan hendaklah dipulangkan dan dikembalikan kepada orang yang paling berkelayakan di kalangan kita. Maka yang paling berkelayakan dalam urusan masjid dan surau ialah mereka yang benar-benar mencukupi merit yang diyakini bahawa mereka mampu menjaga hal ehwal dan urusan berkaitan.

13. Semoga urusan pentadbiran dan hal ehwal agama Islam di Selangor terus maju dan makmur demi memartabatkan Islam dan meninggikan kalimah Allah yang suci.

“Islam Memperkukuhkan Perpaduan”

30 Ogos 2021 | 21 Muharram 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru

Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor