Home Berita PAS Perak

Sultan Perak zahir penghargaan buat petugas barisan hadapan

69
SHARE
IPOH, 25 Ogos — Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan buat petugas barisan hadapan atas khidmat dan pengorbanan mereka dalam menjalankan tugas masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Titah baginda, kesemua petugas barisan hadapan dilanda tanggungjawab berat luar jangka, berada di barisan paling hadapan, menghadapi risiko jangkitan paling tinggi dan merupakan satu beban tanggungjawab yang tidak pernah terbayang perlu dihadapi oleh profesion masing-masing.
“Para doktor, jururawat, petugas kesihatan dan perubatan, pemandu ambulans, pemandu van jenazah dan penggali kubur serta pengurus rumah-rumah jenazah tiba-tiba dilanda tanggungjawab luar jangka.
“Begitu juga risiko besar yang dihadapi oleh penghantar makanan, petugas-petugas di kedai runcit, di pasaraya dan di farmasi, para pengendali pengangkutan awam, para anggota pasukan keselamatan dan agensi-agensi berkaitan serta pegawai-pegawai awam di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang mengendalikan pelbagai perkhidmatan penting.
“Mereka telah melaksanakan satu tugas fardhu kifayah yang wajib dihargai, semoga Allah swt menganugerahkan khidmat dan pengorbanan mereka dengan sebesar-besar ganjaran,” titah baginda.
Baginda bertitah semasa Titah Diraja Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Perak Darul Rizuan Keemopat Belas di Dewan Negeri Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini.
Baginda turut bertitah supaya kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk berdiri dan memberikan tepukan penghargaan sebagai tanda apresiasi kepada setiap petugas barisan hadapan.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan penghargaan buat warga pendidik yang menghadapi cabaran berat dalam perubahan landskap andragogi dan pedagogi secara digital terutama dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Beta menzahirkan penghargaan kepada warga pendidikan yang telah merintis segala usaha untuk memastikan murid-murid yang diamanahkan tanggungjawab ke atas bahu mereka, dapat. diilmukan sebaik mungkin,” titah baginda.
Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas berlangsung meskipun menghadapi menangguhan berikutan Proklamasi Darurat antara 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021.
SUMBER: Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]