Oleh Mastura Jamal Din
KUALA NERUS, 25 Ogos – Teruja untuk mengerjakan solat di masjid, seorang warga emas, Che Ismail Tahir, 101, akhirnya berjaya menerima suntikan vaksin dos pertama Pfizer hari ini.
Che Ismail yang tinggal di Gong Kijang, Bukit Tunggal, berusia lebih satu abad itu dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sambil ditemani cucu dan dua orang cicit.
Cucunya, Mohd Jailani Harun, 52, berkata, sebelum ini, dia telah mendaftarkan Ismail dalam program imunisasi sejak fasa pertama tetapi pada masa itu datuknya belum bersedia lagi untuk vaksinasi.
“Setelah dipujuk dan diberi penerangan, akhirnya datuk saya faham kepentingan divaksin dan tidak gentar disuntik dengan jarum suntikan.
“Dia juga tidak menolak untuk menerima suntikan vaksin kerana difahamkan warga emas lebih mudah diserang penyakit berbahaya itu.
“Apabila dimaklumkan mana-mana warga emas boleh hadir secara ‘walk in’ di PPV UniSZA dari facebook dua hari lepas, saya beritahu kepada datuk dan dia sangat teruja kerana nak sangat terima suntikan vaksin ini,”ujarnya ketika ditemui di PPV UniSZA.
Sementara itu, Pengarah PPV Intergrasi UniSZA, Prof Dr Nik Arif Nik Mohamed berkata program pemberian vaksin COVID-19 secara ‘walk-in’ di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), Kampus Gong Badak dibuka buat penduduk Kuala Nerus termasuk individu berumur 18 tahun ke atas.
Katanya lagi, syarat lain termasuk mereka yang terlepas temujanji vaksinasi di UniSZA, belum mendapat temujanji vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera atau belum mendaftarkan diri untuk vaksinasi dalam sistem tersebut.
“Keutamaan diberikan kepada warga emas, wanita hamil dan Orang Kurang Upaya(OKU) selama tiga hari sejak dibuka semalam.
“Kami turut sediakan 400 khemah di luar dewan dan 600 kerusi di dalam dewan bagi menampung kehadiran orang ramai ke sini.
“250 petugas juga sedia menanti kehadiran mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang proses vaksinasi berjalan,” tambahnya.