Home Berita PAS Perak

PAS Kampar lancar kempen kibar Jalur Gemilang

256
SHARE

Oleh: Saiful Islam Abd Rahman

KAMPAR: PAS Kawasan Kampar telah melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan 2021 di hadapan Markas PAS Kampar bagi menyemai semangat patriotisme dengan mengedarkan Jalur Gemilang secara pandu lalu kepada wakil-wakil PAS cawangan.

Menurut Yang DiPertua PAS Kampar, Ustaz Mohd Sofian Rejab, Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.

“(Bukan itu sahaja) malah ia sekali gus dapat mencetuskan solidariti bersama dalam mendepani sebarang cabaran mendatang. Marilah kita bersama mengibarkan Jalur Gemilang demi menzahirkan rasa cinta kepada negara.

“(Dalam pada itu) usah kita lupa agar iringi doa dan harapan agar negara (kita) Malaysia ini akan segera pulih daripada wabak Covid-19 dan kita dapat kembali menjalani kehidupan normal,” ujar beliau.

Ustaz Mohd Sofian turut menyeru seluruh warga Kampar agar mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing termasuk bangunan-bangunan pejabat, gedung-gedung perniagaan serta di kenderaan dengan penuh bangga, tertib dan hormat meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang sebagai tanda penyatuan melawan pandemik Covid-19.

Ulasnya, di waktu peperangan melawan pandemik Covid-19 sedang memuncak, seluruh rakyat Malaysia perlu menzahirkan semangat patriotisme yang luar biasa dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bersama mendukung Pelan Pemulihan Negara (PPN).