Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Abdul Basith Abdul Halim
Timbalan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
DARI MEJA PENERANGAN DPPNS
KABINET KERAJAAN BAHARU: JANGAN TAKUT BARISI LEBIH RAMAI ANAK MUDA
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengucapkan tahniah dan syabas atas perlantikan DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri (PM) ke-9 yang baharu yang berjaya membuktikan persepakatan dan kerjasama gabungan parti-parti PN yang mendapat sokongan majoriti sekaligus mengakhiri krisis perebutan kuasa yang rakus dimainkan oleh pihak Pakatan Harapan.
2. Apa yang paling penting sekarang adalah agenda pembentukan kabinet baharu yang perlu dilihat lebih berintegriti, segar dan sudah pasti perlu dilihat mesra anak muda. Dengan komposisi rakyat Malaysia yang dianggarkan sekitar 50-60 peratus adalah dari kalangan golongan muda, sudah cukup untuk membuktikan bahawa ruang dan peluang kepada anak muda membarisi kabinet baharu kerajaan adalah menjadi keutamaan agar suara, isi hati dan aspirasi anak muda diangkat dan diambil secara serius.
3. Lihatlah kepada beberapa negara luar yang telah membuka ruang yang luas kepada anak muda untuk dilantik sebagai kepimpinan tertinggi yang menerajui negara masing-masing. Simon Harris dari Ireland yang telah dilantik menjadi Menteri Kesihatan pada usia 29 tahun, Sebastian Kurz dilantik sebagai Menteri Luar Negeri Austria pada usia 27 tahun, Nadiem Anwar Makarim dari negara jiran kita, Indonesia yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan, Kebudayaan Penyelidikan dan Teknologi pada usia 35 tahun dan Sanna Mirella Marin dari Finland yang dilantik sebagai Perdana Menteri Termuda di dunia pada usia 34 tahun. Ini adalah contoh bagaimana negara luar membuka ruang kepada anak muda terlibat secara langsung dalam menerajui negara.
4. DPPNS sangat optimis dengan adanya parti-parti komponen Perikatan Nasional terutamanya PAS, PPBM dan UMNO yang mempunyai barisan kepimpinan anak muda yang boleh diangkat menjadi Menteri atau Timbalan Menteri berdasarkan ciri-ciri kepimpinan, pengalaman yang luas serta kepelbagaian kepakaran yang mampu digarap untuk memacu kepimpinan negara yang efektif dan berdaya saing. Oleh itu, kepimpinan-kepimpinan anak muda seperti :
i. YB Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PAS),
ii. YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Pasir Mas (PAS),
iii. Sdr Shahril Hamdan (UMNO),
iv. YB Shahar Abdullah, Ahli Parlimen Paya Besar (UMNO),
v. YB Senator Wan Ahmad Fayhsal (PPBM), dan
vi. YB Hilman Idham, ADUN Gombak Setia (PPBM)
perlu diberi ruang seluasnya untuk mengisi kabinet kerajaan dibawah kepimpinan YAB PM, DS Ismail Sabri yang baharu ini. Inilah antara tawaran kepimpinan muda yang terbaik yang bukan sekadar mampu mengangkat aspirasi anak muda, tapi boleh diisi ke pelbagai Kementerian seperti Ekonomi; Pendidikan; Sains & Teknologi, Komunikasi & Multimedia dan sudah tentu portfolio utama anak muda iaitu Belia & Sukan.
5. Oleh yang demikian, setinggi harapan diletakkan kepada kabinet baharu kerajaan Malaysia kali ini agar lebih berani membuka seluas-luasnya peluang buat kepimpinan yang baru terutama sekali dari kalangan anak muda yang berpotensi, berwibawa dan berintegriti demi membawa agenda kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi yang lebih kukuh dan mampan.
21 Ogos 2021 | 12 Muharram 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor