Dari Tirai Dewan Muslimat PAS Selangor | Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor
Oleh : Puan Nor Zarina Mohd Azhar
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor
Tidak akan terpadam detik 1 Mac 2020. Saat menerima pelantikan sebagai Perdana Menteri dalam keadaan negara hilang arah kepimpinan sekaligus kestabilan politik terganggu-gugat. Juga detik getir ketika nyawa manusia dan kelangsungan hidup rakyat menjadi taruhan akibat wabak COVID19 yang mengganas tanpa belas kasihan.
Abah dengan kabinetnya terus merencanakan agenda besar iaitu keselamatan, kesihatan dan kebajikan menyelamatkan rakyat dan negara keluar dari cengkaman pandemik yang amat membinasakan. Bukan mudah kerana tiada modul sejarah negara dan dunia untuk dijadikan asas panduan dan rujukan. Lebih payah kerana segelintirnya tiada penyatuan melainkan rakus membibit pepecahan.
Dengan sabar, sokongan dan dokongan pencinta perpaduan serta mendambakan suasana negara pulih sediakala, usaha yang diperjuangkan oleh kabinet Perikatan Nasional kian menyerlahkan warna kemenangannya. Telah ada penampakan penurunan angka-angka besar ke angka-angka yang menjemput kita melafazkan syukur. Juga diakui bahawa Malaysia diantara negara yang sedang menuju dengan cepat ke arah pemulihan kesihatan yang kita semua idamkan.
Namun sudah menjadi sejarah negara pada detik 16 Ogos 2021, Tan Sri Muhyidin Bin Yasin ini melepaskan jawatannya. Akur dengan tekanan dan kehendak perlembagaan negara meskipun perjuangan negara dan rakyat belum berakhir.
Sesungguhnya tanggungjawab adalah suatu yang berat dan bakal dibicarakan kelak. Bersungguh-sungguh berusaha melaksanakan acuan Allah SWT untuk mencapai perpaduan, itulah perjuangan. Tidaklah mudah kerana matlamat dan cara setiapnya adalah berbeza. Hanya yang mengambalikan urusan kepada Allah dan mampu memisahkan antara yang hak dan batil akan ketemu jalan penyelesaian.
Firman Allah SAW di dalam Al-Quran dengan maksud berikut:
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ . وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ . إِلَّا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Artinya: “dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan. Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat. kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. dan untuk Itulah Allah menciptakan mereka. kalimat Tuhanmu (keputusanNya) telah ditetapkan: Sesungguhnya aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.” (Surah Hud : 117-119).
Terima kasih Abah. Semoga Allah merahmati dan memberikan balasan berlipat kali ganda di atas pengorbanan mengemudi bahtera negara di era pandemik wabak dan tsunami politik yang gila. Semoga Allah memelihara dan merahmati kita semua.
18 Ogos 2021 | 9 Muharram 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor