Home Rencana PAS Pahang

MINDA | Kenapa Islam berbeza?

123
SHARE

Oleh: AIREROSHAIRI ROSLAN

Islam berbeza kerana ia mengajar manusia tentang dunia sebagai tempat ujian. Harta, pangkat, dan kemegahan merupakan alat yang wajib digunakan untuk berjaya dalam ujian. Setiap pemiliknya diberi kefahaman yang sama.

Berbeza dengan hamba dunia yang melihat dunia sebagai tempat mencari kemenangan dan kemegahan. Maka mereka berlumba-lumba mengejar harta, pangkat dan kemegahan, kerana itulah tanda aras kemenangan bagi mereka. Sifat mereka antaranya adalah pentingkan diri sendiri, kejam, licik, dan bermuka-muka.

Islam berbeza kerana ia mengajar manusia tentang keadilan dan ia adalah tanggungjawab yang akan diadili di hadapan Allah. Keadilan dalam menghukum, keadilan dalam memerintah, keadilan dalam memberikan hak kepada yang hak.

Berbeza dengan hamba dunia yang sebolehnya cuba memiliki sebanyak-banyaknya. Semakin banyak yang menjadi miliknya, semakin megah. Mereka tidak pernah mempedulikan cara memiliki. Yang penting, ia milik mereka. Tidak ada lagi betul atau salah, dosa atau pahala.

Islam berbeza kerana ia mengajar manusia tentang kuasa itu amanah. Mereka yang menjaga amanah kuasa beroleh sebaik-baik balasan akhirat. Mereka yang mengkhianati amanah akan ke neraka. Amanah manusia adalah memakmurkan dunia dengan acuan Allah. Tanggungjawabnya sebagai hamba itu amanah, tanggungjawabnya memimpin keluarga kejalan yang Allah redha itu amanah. Tanggungjawabnya sebagai ketua bagi memastikan perkara dosa tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya itu amanah.

Berbeza dengan hamba dunia melihat amanah itu sebagai batu loncatan untuk mencapai kemegahan dunia. Tanggungjawab menjaga keluarga, masyarakat, dan negara hanya perkara dunia yang tidak ada nilai akhirat. Kebaikan, kebajikan, kejujuran itu tidak lebih dari hanya kebaikan moral semata. Nak ikut boleh, tak ikut pun boleh.

Islam berbeza kerana ia mengajar manusia tentang kepelbagaian bangsa bukan ruang untuk mendabik dada. Tujuannya adalah untuk saling kenal mengenal. Yang paling baik disisi Allah adalah yang paling bertakwa di antara mereka.

Berbeza dengan hamba dunia yang melihat bangsa lain adalah saingan bagi mereka. Bangsa yang kuat dipuji, bangsa yang lemah dikeji dan dijadikan hamba.

Islam berbeza kerana sistem kehidupan yang diperjuangkan oleh Islam adalah sistem ciptaan Allah. Kesempurnaan pencipta sistem itu sudah cukup untuk kita meyakini keberkesanan sistem tersebut dalam menyusun atur kehidupan manusia.

Sistem kehidupan ciptaan manusia penuh dengan kelompangan dan kelemahan. Kelemahan manusia itu sudah cukup untuk kita meyakini bahawa sistem ciptaan manusia itu tidak mampu mengurus kehidupan.

Islam mengajar kita, berpegang teguh dengan ISLAM dalam keadaan kalah atau menang. Kerana istiqamah dalam ISLAM pada setiap masa itulah kemenangan sebenar. Kemenangan dunia, belum tentu kebenaran itu menang kerana Allah menggilirkan kemenangan diantara hak dan bathil sebagai ujian.

Akhirnya, Islam mengajar kita bersatu dan musuh sentiasa memecah belahkan. Kita sepatutnya cukup bijak untuk mengatasi agenda mereka “pecah dan perintah” dan meneruskan agenda perpaduan ummah. PRU 15 adalah gelanggang percaturan kuasa, kita perlu serahkan kuasa kepada orang yang celik agama.

14 Ogos 2021

#kekaltenang #menangbersama.

==========================

Penulis adalah Timbalan Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang.