Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
FOKUS SEKARANG IALAH COVID-19 BUKAN TUKAR PERDANA MENTERI
Oleh : Hanafi Zulkapli
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menegaskan bahawa situasi negara dalam sibuk menguruskan pandemik COVID-19 sejak tahun lepas mesti menjadi keutamaan semua pihak termasuk ahli politik yang sedang sibuk mendapatkan sokongan majoriti untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang ini.
2. Kegilaan apakah yang berlaku pada ahli politik pembangkang di saat ini yang kelihatan lebih bersungguh untuk menukar Perdana Menteri sekarang ini dari kesungguhan untuk menyelesaikan kemelut negara dalam menangani pandemik yang sedang melanda.
3. Terbaru apabila PM menawarkan kerjasama persefahaman kepada semua parti bagi mewujudkan kestabilan politik negara untuk menangani pandemik adalah sangat baik dan wajar disambut oleh semua parti yang ada. Tawaran tersebut mestilah bukan hanya pada parti tertentu seperti sahaja tetapi libatkan semua termasuk PKR, PAN, WARISAN, PEJUANG dan MUDA. Banyak negara di luar yang menunjukkan bagaimana pihak kerajaan dan pembangkang dapat duduk semeja dan meninggalkan seketika “perbalahan politik” demi fokus kesejahteraan negara dan rakyat untuk menangani COVID-19.
4. Ahli politik jangan sibuk mengumpul SD sedangkan barisan hadapan bertungkus lumus menangani pandemik ini dan rakyat masih terbeban dengan pelbagai kesan dari pandemik ini. Sikap ahli politik yang sibuk mengumpul SD adalah mengganggu fokus barisan hadapan dan rakyat kerana membawa gangguan pada kestabilan politik negara.
5. Isu sekarang bukan siapa miliki majoriti. Bukan juga menjadi tuntutan sekarang ini kepada perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin. Kerana, siapa jua yang menjadi PM, bukan boleh terus menghilangkan pandemik secara ajaib. Isu sekarang ialah kerjasama semua pihak memberikan fokus pemulihan negara yang telah dirancang.
6. Jika ahli politik tetap berdegil mahu menukarkan PM sekarang ini, kemelut politik tidak akan selesai. Siapa jua yang akan naik, politik tidak akan stabil kerana kita tahu semua pihak tidak memiliki majoriti yang selesa, hanya berharap rundingan untuk saling sokong menyokong. Jika berlaku tidak puas hati kelak, tarik sokong, hilang pula majoriti, sampai bila?
7. Ahli politik pembangkang mesti terima tawaran PM bagi tujuan yang sama dan gerak kerja terfokus demi kesejahteraan negara dan rakyat. Sibuk mengumpul SD untuk tukar PM ini kerja gila yang tidak berkesudahan. Jangan korbankan negara dan rakyat demi kepuasan nafsu berpolitik. Fokuslah kepada agenda pemulihan negara sekarang ini.
Memimpin Negara,
Pemuda Bangkit Demi Islam.
15 Ogos 2021 | 6 Muharram 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor