Home Rencana PAS Pahang

TAZKIRAH | Dengan cinta kuraih rahmat Tuhan

1181
SHARE

Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN

Apabila kita berbicara soal cinta, apakah yang kita faham tentang cinta? Apa erti cinta sebenarnya?

Ramai yang masih ragu-ragu. Kenapa? Manusia dan kehidupan tidak boleh lari dari cinta.

Cinta adalah satu perasaan yang begitu indah yang berada di dalam jiwa manusia, yang terkadang cinta boleh membuat kita menangis tetapi di lain kesempatan membuat kita tersenyum bahagia.

Tetapi bila kita membicarakan mengenai soal cinta kerana Allah SWT, kita berbicara mengenai sesuatu yang berbeza, sesuatu yang sangat suci yang indah dan kukuh. Bahkan Rasulullah SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal menyatakan yang bermaksud:

“Simpul tali keimanan yang paling kukuh, yang paling kuat itu adalah cinta kerana Allah SWT dan benci kerana Allah SWT.”

Mengucapkan cinta kerana Allah SWT ini mudah. Namun cinta antara manusia dengan Allah SWT adalah cinta yang paling agung. Cinta suci kepada Allah SWT itu bukan sekadar ucapan di lisan. Bukan sekadar status yang dimuat naik di media sosial. Tetapi cinta kepada Allah SWT perlu pembuktian dari sikap dan perilaku hamba itu sendiri. Kerana cinta ini bermaksud melakukan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya, suka atau tidak.

Ingat!, tanpa cinta, manusia tidak mampu untuk melaksanakan taat, melaksanakan amal-amal soleh, melaksanakan sabar dan sebagainya. Dan kerana cinta, kita akan lebih berani dan kuat dalam berhadapan dengan mehnah dan tribulasi. Dan dengan cinta juga kita tidak akan mudah rebah dan terpengaruh dengan pujukan musuh-musuh Islam, pujukan syaitan dan hawa nafsu yang sentiasa membisik dalam hati.

Dan mengungkapkan kata cinta kepada sesama manusia, khususnya untuk orang yang disayangi, bukan sekadar dengan melafazkan kata yang ‘aku mencintaimu kerana Allah SWT’, tetapi kata yang dilafazkan itu mesti di atas dasar cinta kerana Allah SWT dan benci kerana Allah SWT.

Ini adalah simpulan cinta dan ikatan keimanan yang paling kuat dalam melayari hidup terutamanya dalam kehidupan berumahtangga.

Dari hadis Al Baara’ bin ‘Aazib, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya ikatan keimanan yang paling kuat adalah engkau mencintai kerana Allah SWT dan engkau membenci kerana Allah SWT.” (Musnad Ahmad no 18524)

Cinta kerana Allah SWT adalah cinta yang menjadi sebab bagi seseorang meraih manisnya iman dan meraih Sakinah, Mawaddah Warahmah dalam rumahtangga.

Kenapa begitu? Kalau cinta kerana Allah SWT ini sekadar ucapan di lisan, semua orang boleh mengungkapkan begitu. Jadi apa bezanya orang-orang yang benar dan dusta dalam menyatakan cinta?

Bukankah orang-orang munafik yang datang kepada Nabi SAW mengungkapkan cinta mereka dengan lisan? Bahkan Allah SWT menurunkan surah Al-Quran dalam nama mereka; surah al-Munafiqun.

Allah SWT memulai dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” (Al-Munafiqun: 1)

Ketika orang-orang munafik datang kepada Nabi SAW, mereka menyatakan bersaksi Muhammad adalah utusan Allah SWT (menunjukkan cintanya kepada Rasul SAW). Sesungguhnya Allah SWT bersaksi bahawa orang-orang munafik itu pendusta.

Dalam Islam telah menjelaskan kedudukan mulia orang yang mencintai kerana Allah SWT dan membenci kerana Allah SWT dan dinyatakan oleh Rasul SAW dalam hadisnya yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah, ada orang yang bukan para Nabi, tetapi para Nabi dan orang yang mati syahid cemburu kepada mereka itu, ketika melihat kedudukan mereka di sisi Allah SWT.”

Lalu para Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, siapakah mereka wahai Rasulullah dan bagaimana amal mereka? Semoga kami juga boleh turut mencintai mereka.”

“Maka Nabi SAW pun menjawab, “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah SWT, tanpa ada hubungan keluarga dan nasab di antara mereka, dan tidak ada kepentingan harta untuk dibahagi-bahagikan antara mereka, yang menyebabkan dengan itu lahir cinta antara mereka. Bukan! Mereka mencintai kerana Allah SWT. Demi Allah SWT wajah mereka bagaikan cahaya terang benderang, mereka berada di atas cahaya, mereka tidak takut ketika orang-orang berada dalam ketakutan, mereka juga tidak bersedih ketika orang-orang bersedih.”

“Kemudian Nabi SAW membacakan firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 62;

“Wali-wali Allah itu adalah orang yang tiada rasa kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.” (Hadis riwayat Abu Daud. Ada hadis yang menyaksikan Hadis Hasan)

Semoga, dengan sedikit penerangan ini kita faham apa itu cinta dan apakan hakikat cinta yang akhirnya kerana cinta itu kita menjadi hamba yang bertakwa yang dicintai oleh Allah SWT, dicintai oleh Rasulullah SAW dan dicintai oleh yang di langit dan di bumi.

Moga dengan cinta kita akan bersemangat untuk melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup, sanggup berkorban masa, harta dan nyawa untuk meninggikan kalimah Allah SWT di atas muka bumi ini.

KUANTAN,

14 Ogos 2021.