Oleh:Husaif Mamat
MARANG, 12 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, di kediaman Presiden PAS itu di Rusila, di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri itu, kunjungan beliau ke kediaman Abdul Hadi hanya sekadar kunjungan biasa.
“Pertemuan biasa sahaja kerana sudah lama tidak jumpa. Nak ziarah sebab kita tahu keadaan kesihatan tok guru Abdul Hadi tidak berapa mengizinkan.
“Sudah lama tidak jumpa, kali terakhir di hospital sebelum beliau dibenarkan balik ke sini,” kata Muhyiddin dalam sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam (TTI).
Perdana Menteri dilihat meninggalkan kediaman Abdul Hadi selepas lebih satu jam bertemu pemimpin utama PAS itu
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di rumah Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sekitar jam 5 petang.
Kehadiran Muhyiddin diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan disambut Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Sebelum itu, beliau mengadakan tinjauan di PPV TTI sempena lawatan kerjanya ke Terengganu.