اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
Pagi tadi berlangsungnya Acara Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim
Daripada titah ucapan yang disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku, patik merafak sembah serta ucapan penghargaan tidak terhingga kepada DYMM Tuanku atas segala peringatan serta nasihat yang diberikan.
Sebagai Adun di bawah pemerintahan negeri Johor, patik mengangkat segala peringatan serta nasihat yang dititahkan agar amanah yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada diri patik serta kepercayaan yang disandarkan oleh rakyat terus dipegang erat dan dilaksanakan demi berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan kesejahteraan negeri
Inshaa Allah, melalui pembukaan Penggal Persidangan Keempat ini akan terus dijadikan wadah untuk membicarakan berkenaan kebajikan masyarakat, langkah-langkah terbaik bagi membantu ahli keluarga mangsa meninggal Covid-19 yang terkesan teruk serta kehilangan nafkah, ikhtiar pembangunan ekonomi terutama perancangan negeri untuk meningkatkan sumbangan kepada bank makanan negara dan pelbagai lagi isu pembangunan dan pemerkasaan yang difikirkan kritikal untuk dibahaskan kelak.
Sementara itu, sebagai pimpinan di bawah negeri yang berpegang kepada agama Islam sebagai agama persekutuan, kecenderungan untuk berpolitik dalam hal pemerintahan haruslah diketepikan.
Sebagaimana yang dititahkan oleh DYMM Tuanku, perkara yang membawa kepada kepentingan parti dan peribadi yang sempit haruslah dihentikan.
Sebagai pimpinan yang dipandang oleh masyarakat, jangan dijadikan amalan oleh mana-mana pihak untuk mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan rakyat serta pecah belah.
Justeru, patik menjunjung tinggi titah DYMM Tuanku agar Penggal Persidangan Keempat akan menjadi persidangan yang membuahkan hasil bagi memimpin masyarakat kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup di negeri Johor Darul Takzim
YB KAPT (B) HAJI NAJIB LEP
Ahli Dewan Undangan Negeri
DUN Bukit Pasir
12 Ogos 2021 bersamaan 3 Muharram 1443H
#AdunBukitPasir #PrihatinRakyat