Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Maal Hijrah 1443H: Pertahankan Penyatuan Ummah

156
SHARE

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara…” (Ali-Imran: 103)

 

Saban tahun tatkala sambutan Tahun Baru Hijrah, kita diingatkan dengan pengajaran daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah.

 

Dengan penyatuan ummah yang digagaskan oleh Baginda SAW pada masa itu, kaum Aus dan Khazraj yang dahulunya bertelagah dapat disatukan. Begitu juga kaum Muhajirin dan Ansar yang disatukan atas dasar aqidah. Kesatuan ini jugalah yang menjadi antara teras penting dalam pembinaan negara pertama umat Islam iaitu Madinah Al-Munawwarah yang sejarah penubuhannya menjadi rujukan pelbagai para pengkaji dalam kerangka pembinaan negara.

 

Di zaman mutakhir ini, dengan begitu banyak ancaman kepada penyatuan ummah di tanah air yang kita cintai, seharusnya kita menginsafi perjalanan hijrah tersebut dan berusaha mengekalkan perpaduan yang kita telah kecapi.

 

Jika kita soroti semula sejarah, negara kita yang sudah merdeka selama 64 tahun ini berjaya keluar dari kepompong penjajahan tanpa pertumpahan darah juga kerana perpaduan semua kaum di Malaysia.

 

Mengapa tidak sekarang, kita kembali menghayati erti perpaduan itu untuk menyelamatkan negara kita khususnya daripada ancaman COVID-19 dan juga desakan pihak-pihak tertentu yang ingin menggugat kesatuan kita demi menjaga kepentingan mereka.

 

Bersempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini juga, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) dan seluruh saff kepimpinan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1433H. Semoga tahun baru ini memberi erti yang baru dalam kehidupan kita dan bersama kita menjaga kesatuan kita dalam meraih redha Allah SWT.

 

Siiru ‘ala barakatillah

 

‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’

 

‘Islam Memimpin Perpaduan’

 

‘Wilayah Sejahtera’

 

USTAZ AZHAR YAHYA

Pesuruhjaya

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)

9 Ogos 2021 l 30 Zulhijjah 1442H