Oleh : MS Musaiful
BAGAN DATUK, Sukarelawan Skuad Prihatin Negara (SPN) merupakan suatu usaha proaktif yang memberi impak positif ketika ini yang dipelopori Dewan Muslimat PAS Kawasan Bagan Datuk.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Bagan Datuk, Nafiaton Khailani menyatakan demikian sebagai sokongan terhadap inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam memberi peluang para sukarelawan menabur khidmat bakti kepada masyarakat.
“Program sumbangan Bakul Prihatin Negara (BPN) kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 adalah sangat baik. Ianya menunjukkan kesungguhan kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat.
“Ianya juga membuktikan peranan serta kerjasama semua pihak dalam fasa pemulihan ini adalah sangat penting,” kata beliau selepas program menyampaikan sumbangan Bakul Prihatin Negara kepada penerima di sini semalam.
Beliau yang juga merupakan Penyelaras Sukarelawan Skuad Prihatin Negara Daerah Bagan Datuk komited dalam memberi sokongan langsung terhadap usaha pihak kerajaan bagi menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan ketika musibah pandemik Covid-19 semasa ini.
Katanya lagi, komitmen Sukarelawan Skuad Prihatin Negara sangat perlu bagi memudahkan penyerahan sumbangan Bakul Prihatin Negara agar sampai kepada penerima dengan cepat dan menepati keperluan masyarakat.
Turut bersama membantu dan menjayakan program agihan BPN, pemimpin masyarakat setempat dan pimpinan PAS Kawasan Bagan Datuk di samping para sukarelawan daripada kalangan ahli PAS.