Oleh: Haikal Mohd Noh & Aisy Sufi Ahmad
IPOH: Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) PAS Perak menganjurkan Konvensyen Penerangan dan Media Baharu peringkat negeri Perak secara atas talian, hari ini.
Timbalan Pengerusi II LPMB PAS Pusat, Dr. Najihatussalehah Ahmad menegaskan setiap ahli PAS mestilah bertindak sebagai ejen penerangan dan mengambil tahu isu semasa sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.
“Kita mesti tahu naratif isu semasa yang terkini supaya kita mampu menerangkan segala pembaharuan yang telah dilakukan oleh kepimpinan PAS yang berada dalam kerajaan ketika ini.
“Ejen penerangan mestilah belajar kemahiran media sosial supaya mampu bergerak secara teratur dalam proses penyampaian maklumat kepada rakyat tanpa mengira kawasan,” tegas beliau.
Katanya, dalam gerak kerja penerangan ia bukan lah khusus untuk ahli penerangan sahaja, malah semua ahli PAS menggalas tanggungjawab menerangkan agenda parti kepada masyarakat.
Hal demikian kerana jelasnya, dengan peranan yang dimainkan itu ia dilihat berupaya mampu mengekang kekeliruan berlaku di kalangan masyarakat termasuk mengelakkan salah faham terhadap informasi yang disebarkan.
“Ahli PAS perlu cakna dengan naratif yang dibawa oleh PAS Pusat supaya tidak berlaku kekeliruan dan cepat melatah dengan salah faham terhadap maklumat yang diterima,” pesannya.