Home Berita PAS Perak

PAS Perak komited kuasai penerangan media baharu

247
SHARE

Oleh : Aisy Sufi

IPOH, Konvesnyen Penerangan dan Media Baharu PAS negeri Perak yang berlangsung secara maya berjaya mencatatkan pendaftaran peserta melebihi 1,000 orang mewakili 24 kawasan seluruh negeri kelmarin.

Konvensyen pada kali ini memberi fokus kepada persiapan jentera penerangan dan media baharu sebagai persiapan PRU15 serta turut menampilkan Naib Presiden, YB Senator Ustaz Idris Ahmad.

Pengarah Konvensyen, Zulfahmi Ramli berkata demikian ketika ditemui seusai program yang berlangsung selama lima jam melibatkan sembilan pembentang daripada pimpinan PAS Pusat dan Negeri.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baharu PAS Perak membentangkan enam Resolusi bertemakan #KitaEjenPenerangan sebagai panduan halatuju gerak kerja pelbagai peringkat.

“Pertama, memperkukuh organisasi jentera penerangan di semua peringkat bagi memastikan tindakan bersepadu dapat digerakkan secara sistematik dan efisyen berdasarkan keputusan Pusat dan Negeri.

“Kedua, menggerakkan peranan semua ahli PAS pelbagai peringkat sebagai #KitaEjenPenerangan dengan menyebarluaskan segala bentuk bahan yang diperturun dari semasa ke semasa untuk kefahaman ahli PAS dan mestilah sampai kepada masyarakat,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, resolusi ketiga ialah mempersiap prasarana media dan mengaktifkan kesemua platform media sosial serta mempertingkat usaha penyebaran bahan penerangan daripada sumber utama parti.

Sementara itu, resolusi keempat pula mengurus setiap isu semasa dengan strategik serta mempromosikan kejayaan kerajaan sebagai bukti kemampuan PAS dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara, negeri dan rakyat keseluruhannya.

“Kelima, menguasai ilmu dan kemahiran semasa secara cepat dan menyeluruh bagi mendepani PRU15 yang akan dilaksanakan berperingkat dan berfokus dari semasa ke semasa secara berkala.

“Keenam, meyakini bahawa agenda PAS yang tetap mengutamakan penyatuan ummah dengan memberi keuntungan kepada Islam mestilah menjadi teras dalam menyempurnakan setiap tugasan,” jelas beliau lagi.

Majlis perasmian konvensyen telah disempurnakan Pesuruhjaya PAS Perak yang juga ADUN Gunong Semanggol, YB Haji Razman Zakaria. Sebelum itu, ucapan pembukaan disampaikan Pengerusi 2 LPMB PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Turut menyampaikan ucapan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Perhubungan yang juga ADUN Selama, YB Ustaz Akmal Haji Kamaruddin, Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri dan ADUN Kubu Gajah, YB Ustaz Khalil Yahaya.