Oleh:Fakrusy Syakirin Ahmad Sabri
KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yakin dalam mencapai sasaran pelaburan tahun 2021 untuk negeri Terengganu menjelang penghujung tahun ini.
ECERDC dalam kenyataannya hari ini berkata, sehingga 30 Jun 2021 pihaknya telah berjaya RM2.7 bilion ke Terengganu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che, perkembangan itu dijangka akan mewujudkan sebanyak 3,040 pekerjaan dan 214 peluang keusahawanan baharu bagi rakyat di Terengganu.
“Susulan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan untuk tahun 2021 setakat ini, ECERDC akan meneruskan usaha untuk memastikan projek-projek dan inisiatif-inisiatif yang sedang berjalan.
“Ini meliputi kerja-kerja infrastruktur dan program-program pembangunan modal insan dilaksanakan seperti yang dirancang untuk mempertingkatkan daya tarikan negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mohkhtar.
Pada mesyuarat tersebut, Ahmad Samsuri menggesa semua pihak untuk terus berusaha menarik pelaburan baharu ke Terengganu, terutamanya dalam pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dan Taman Biopolimer Kerteh.
“Kerajaan Negeri juga komited untuk menyokong inisiatif agrofood@ECER yang sedang dirancang oleh ECERDC.
“Terutamanya projek Lembah Tenusu Terengganu, serta projek-proiek Penanaman Kelapa, Makanan Ternakan dan Fertigasi, agar sektor pertanian dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri yang berterusan,” katanya lagi.