Oleh : Hafizah Aiman
TELUK INTAN, PAS Kawasan Teluk Intan mengagihkan sekilogram ikan segar kepada lebih 500 buah keluarga yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Melor di sini semalam.
Timbalan Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Hamisah Abas ketika ditemui berkata, PAS Kawasan Teluk Intan sangat cakna terhadap kesusahan penduduk Taman Melor yang dikenakan PKPD.
Dalam pada itu, beliau berharap seluruh penduduk Taman Melor bersabar dan tabah menjalani tempoh PKPD serta berdoa agar dipermudah segala urusan dan mereka yang positif COVID-19 diberikan kesembuhan.
“Apa yang menarik sebenarnya, kos keseluruhan ikan yang diperolehi daripada jeti pendaratan ikan di Hutan Melintang adalah hasil sumbangan derma ahli PAS Kawasan Teluk Intan.
“Ianya sebagai tanda prihatin dan kebersamaan PAS Kawasan Teluk Intan serta dapat meringankan beban mereka yang telibat secara langsung dalam PKPD,” jelas Hamisah lagi.
Difahamkan muslimat dan pemuda melaksanakan proses pembungkusan ikan segar secara bergotong-royong di Kompleks PAS Kawasan Teluk Intan (KOMPASTI) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Sementara itu, Komandan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Teluk Intan, Ustaz Hafiz Fadhil bersama petugas sukarelawan yang telah mendapat kebenaran PKOB mengagihkan sumbangan ikan segar ke setiap rumah.
Ustaz Hafiz turut melahirkan harapannya agar seluruh penduduk Taman Melor bersabar dan tabah dalam menjalani tempoh PKPD serta mendoakan mereka yang positif COVID-19 segera sembuh.
Turut hadir bersama membantu menguruskan penghantaran bungkusan ikan segar ke Taman Melor, Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik dan Penyelaras DUN Changkat Jong, Hj Azhar Rafie.