KUALA TERENGGANU – Menjelang pembukaan sebahagian sektor perniagaan bagi fasa kedua yang bermula esok, ada antara peniaga sudah mula melakukan persiapan di premis masing-masing.
Pemilik kedai komputer Amer Technology, Mohd Shameer Mohd Sarif, 34, menzahirkan rasa syukur kerana perkhidmatan jual beli komputer dan eletronik telah dibenarkan di buka.
“Saya rasa amat lega kerana jualan secara dalam talian sebenarnya memerlukan tenaga yang banyak, kadang-kadang kami tidak dapat memberikan servis yang lebih cekap berbanding jualan secara bersemuka. Jadi, saya bersyukur sangat pembukaan fasa kedua
“Bagi pembukaan esok, saya mengasingkan staf kepada beberapa bahagian supaya apabila ada yang didapati positif, ia tidak akan menjangkiti staf-staf di bahagian lain, jadi saya terpaksa buat perubahan yang agak besar dari segi susun atur kedai untuk perkara itu,” katanya.
Jelasnya, beliau juga menetapkan sebahagian staf untuk bekerja di rumah bagi memenuhi kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Ada sebahagian staf yang berkerja dari rumah seperti bahagian akaun dan admin. Manakala, staf teknikal yang membaiki komputer akan berkerja di kedai bagi memudahkan urusan.
“Buat dua minggu pertama ini, pelanggan kita juga masih tidak dibenarkan masuk dan berurusan di hadapan kedai sahaja,” katanya.
Ameer mengakui dari segi jualan, perniagaannya memang agak sedikit merosot, Namun sejak Periuntah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi, kami mula mengenal servis secara dalam talian untuk digunakan sebagai medium perniagaan.
“Kita juga berdepan cabaran terputusnya bekalan alat ganti komputer kerana kilang-kilang tidak beroperasi, tetapi kami bernasib baik masih mempunyai stok bagi beberapa barang dan dapat berniaga dengan lancar,” katanya yang berharap kedai komputer akan dikategorikan sebagai ‘essential service’ selepas ini