KEMAMAN – Kali ini Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Kemasik membawa sedikit kelainan meraikan warga DUN Kemasik yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Menerusi sebuah program peringkat DUN Kemasik yang diadakan iaitu dinamakan ‘Program BersamaMu BERKAT 3.0’, dengan mengagihkan daging sejuk beku import.
Sebanyak 3,000 pek daging lembu sejuk beku diserahkan kepada pengerusi-pengerusi JPKK DUN Kemasik dalam 30 buah kampung yang ada di DUN Kemasik ini secara berperingkat, untuk mereka agihkan kepada komuniti di kawasan kampung masing-masing nanti.
Pembekal daging lembu tersebut tidak asing lagi kalau bukan ‘Koperasi Indah Raya Kemaman Berhad’ yang membekalkan daging import bermutu tinggi dan dijamin halal dari Pakistan.
Agihan bersasar kepada seluruh komuniti setempat terutamanya mereka yang sangat terjejas oleh kerana pandemik Covid-19.
Untuk maklumat agihan terdahulu bersempena BERKAT 2.0, bantuan yang diagihkan adalah ayam segar sebanyak 3,000 ekor dengan jumlah pembelanjaan sebanyak RM60,000.
“Kami berharap dengan sedikit sumbangan yang telah diberikan ini, mampu menceriakan warga sini dan dapat meringankan sedikit beban golongan terkesan disebabkan pandemik Covid-19,” ujar ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.